PENDIDIKAN adalah perkara yang sangat menarik minat saya. Malah ia perkara yang seharusnya menarik perhatian semua pihak dalam negara.
Justeru, saya antara mereka yang tidak terlepas mengikut amanat Menteri Pendidikan tempoh hari. Saya mengambil masa sedikit untuk mengulas amanat saudara Maszlee Malik kerana sedikit sibuk.
Lagipun ulasan yang segera akan menyebabkan orang lupa amanat beliau selepas satu hari. Sekalipun bermula sejam lebih lambat dari masa yang dijadualkan, terdapat beberapa perkara yang harus dipuji baik dalam amanat tersebut.
Antaranya, pendidikan harus menjadi tanggungjawab semua pihak. Beliau juga menekankan peri pentingnya nilai dan kualiti menjadi intipati utama pendidikan.
Selain itu kita harus mengurangkan beban guru, autonomi mesti diberikan kepada institusi pendidikan dan institusi pendidikan mesti membumi dan kembali kepada masyarakat.
Malah, tindakan memasukkan M keempat iaitu elemen ‘Manusiawi’ selepas mantera 3M yang kita pegang selama ini, adalah sesuatu yang sangat baik dan kena pada masanya. Saya setuju, saya sokong dan saya puji semua ini.
Namun begitu, secara peribadi, saya kira amanat Menteri Pendidikan sedikit terpisah dari realiti dan tertinggal banyak perkara pokok dan kritikal.
Menteri tidak memberikan trajektori masa hadapan yang meyakinkan dan ampuh untuk menghadapi senario ketidaktentuan pendidikan tinggi negara yang pelbagai. Misalnya dalam perkara-perkara berikut.
Autonomi universiti
Pertama, isu autonomi universiti. Ini adalah perkara yang sudah lama menjadi fokus kementerian dan telah diselesaikan dengan baik sebelum ini.
Banyak sekali usaha yang telah dicurahkan dalam mencari mekanisme terbaik bagi memberikan autonomi kepada universiti.
Ia bukan soal mengisytiharkan sahaja pemberian autonomi ini kepada IPTA. Ia jauh lebih rumit kerana melibatkan isu governan dan pertanggungjawaban yang kompleks. Apatah lagi bila IPTA di Malaysia dibiayai oleh kerajaan dan belum mempunyai keupayaan penjanaan pendapatan tuntas.
Maka kerana itu pemberian autonomi kepada IPTA telah melalui beberapa fasa yang akhirnya akan memberikan autonomi penuh kepada IPTA. Malah kebanyakan universiti dan institusi pendidikan Malaysia mempunyai autonomi, sama ada penuh mahupun separa.
Sekalipun ini mahu dianggap perkara kritikal, apakah sebenarnya strategi baharu yang Maszlee kemukakan dalam hal ini?
Apa yang nyata, banyak sekali pelantikan Pengerusi Lembaga Pengarah, Ahli-Ahli Lembaga, Naib Canselor serta pegawai tinggi IPTA yang dilakukan berdasarkan pertimbangan politik dan membelakangkan autonomi universiti untuk melakukan proses pelantikan yang telus, bertanggungjawab dan berwibawa.
Kedua, bagaimana dengan aspek institusi pendidikan swasta? Tidak disentuh langsung oleh beliau. Apakah beliau lupa bahawa IPTS adalah aktor dan katalis penting menjadikan Malaysia hab pendidikan tinggi.
IPTS yang sebenarnya telah menjayakan idea menjadikan pendidikan sumber pertumbuhan ekonomi baharu dan ideal untuk Malaysia. Namun Menteri Pendidikan Malaysia tidak memberikan perhatian yang didambakan pemain sektor pendidikan tinggi swasta.
Telah lama sektor pendidikan tinggi swasta menantikan jalan ke hadapan yang perlu diutarakan oleh kerajaan bagi menangani pelbagai cabaran persaingan yang mereka hadapi kini.
Retorik
Ketiga, Maszlee turut menyentuh tentang aspirasi pendidikan untuk semua serta pendidikan sepanjang hayat. Retorik ini janggal apabila ia sedikit pun tidak dikait dengan keupayaan kewangan atau ekosistem yang mampu memberi pembiayaan pendidikan diperlukan ramai orang.
Misalnya penstrukturan semula PTPTN. Akses dan ekuiti tanpa PTPTN adalah cita-cita yang mustahil dapat dilaksanakan. Tidak sedikit pun disebut, diulas atau dinyatakan apakah pelan dan rancangan kementerian kepada PTPTN dalam konteks hala tuju pendidikan Malaysia.
Atau barangkali menteri tidak menganggap PTPTN sebagai entiti penting dalam aspek pendidikan lalu tidak perlu dibicarakan secara terbuka dan strategik.
Atau memang menteri tidak mahu mendepani kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan segala janjinya berkaitan PTPTN yang sehingga kini, gagal dilaksana.
Keempat, menteri tidak menyentuh langsung tentang komitmen untuk memperkasa pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025.
Bagaimana komitmen beliau untuk merealisasikan Pelan ini? Atau mungkin dalam sedikit masa lagi, beliau akan memperkenalkan pelan baharu melalui Panel Penasihat Pendidikan yang telah beliau tubuhkan.
Tetapi suka saya mengingatkan beliau bahawa IPTA dan IPTS di negara ini beroperasi bersandarkan hala tuju yang telah diungkapkan dengan jelas dalam PPPM PT 2015-2025.
Meneruskan pelan ini adalah sangat kritikal bagi melonjakkan keampuhan sektor pendidikan tinggi Malaysia. Justeru penerusan pelaksanaan pelan ini memerlukan kemahuan politik yang tidak berbelah bahagi.
Kegagalan berbuat sedemikian telah menghantar mesej jelas bahawa merealisasikan PPPM PT 2015-2025 bukan keutamaan kepada menteri.
Tetapi jangan lupa bahawa kelahiran pelan tersebut dibidani oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin, mantan Menteri Pendidikan Malaysia yang waktu ini adalah presiden parti beliau.
Kelima, terlalu banyak sekali fokus ucapan tersebut tertumpu kepada isu pengurusan pendidikan dan pendidikan tinggi sehingga meminggirkan isu fundamental seperti pelaburan masa hadapan kerajaan dalam sains dan teknologi termaju.
Ini antaranya ikhtiar penerokaan ilmu-ilmu baharu dengan lebih agresif, melestarikan sektor pendidikan menggunakan model alternatif seperti wakaf dan keusahawanan sosial, menjadikan Malaysia hab ilmu dan pengetahuan dan bukan sekadar pendidikan dan pelbagai lagi isu mendasar yang berkepentingan nasional.
Pengiktirafan UEC?
Keenam, tidak disebut dan dinyatakan pendirian kerajaan terhadap sekolah-sekolah vernakular. Adakah mahu digalakkan pertumbuhannya, dikurangkan, dikekalkan status quo atau tidak perlu dibincangkan secara serius sekali pun sangat ramai pelajar yang berada dalam institusi-institusi ini?
Bagaimana pula pendirian kementerian dalam perkara berkaitan pengiktirafan UEC yang entah bila selesai kajiannya.
Semua ini adalah perkara yang mesti diberikan pencerahan kerana sebahagian dari isu ini adalah komitmen yang telah diberikan PH dalam manifesto mereka.
Tahniah saya ucapkan kepada Maszlee atas cubaan yang baik dalam memberikan hala tuju kepada pendidikan negara.
Dahulu saya anggap bahawa menteri tidak mahu bercakap banyak tentang hal ehwal pendidikan tinggi negara. Mungkin sedang sibuk merancang dan berfikir agaknya.
Tidak mengapalah, cuma, saya harap aspek-aspek yang saya kemukakan ini akan disemak dan dilihat kembali dengan serius. Pesan saya berhentilah bernostalgia dan mengarang sentimen. Ia tidak akan membawa kita ke mana-mana.
DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN ialah bekas Menteri Pengajian Tinggi.










