BEIJING – Kapal angkasa penjelajahan China menghantar imej panorama pertama lokasi pendaratan pada sisi gelap Bulan, menunjukkan landskap kawah yang diterokanya.
Chan’e-4 merupakan kapal angkasa pertama melakukan pendaratan di kawasan sisi gelap bulan pada 3 Januari lalu. Kejayaan itu disifatkan langkah penting dalam merealisasikan hasrat Beijing untuk muncul sebagai kuasa besar penerokaan angkasa lepas.
Sebuah kenderaan perayauan, Yutu-2 berpisah daripada kapal angkasa itu dan mula meneroka permukaan Bulan kelmarin.
Sebuah kamera yang dipasang pada kapal angkasa Chang’e-4 merakam gambar itu yang disiarkan oleh Pentadbiran Angkasa Lepas Nasional (CNSA) semalam.
Ia menunjukkan landskap Bulan yang berwarna kelabu bersama kapal angkasa tersebut, kenderaan perayauan Yutu-2 dan kesan trek yang ditinggalkan.
Kenderaan perayauan itu meneruskan aktivitinya kelmarin selepas berada dalam mod ‘sedia’ selama lima hari.
Kapal angkasa Chang’e-4 mendarat di kawasan dikenali sebagai Lembangan Kutub Selatan-Aitken iaitu kawah paling dalam dan terbesar dalam sistem suria. – AFP










