Kanak-kanak tujuh tahun melecur tahap tiga - Utusan Malaysia

Kanak-kanak tujuh tahun melecur tahap tiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS 5 Jan. – Keseronokan cuti sempena sambutan Krismas, seorang anggota tentera bersama keluarganya bertukar sedih apabila seorang anak­nya cedera parah akibat ter­kena renjatan elektrik di Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Kampung Sentol di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mang­sa, Christ Putra Hanafi, 7, melecur hampir 70 peratus badan iaitu pada bahagian muka hingga paha selepas terkena renjatan elektrik selain menerima 11 jahitan di kepala akibat luka.

Anggota tentera berkenaan, Hanafi Ajik, 33, yang bertugas di Kem Wardieburn Setapak, Kuala Lumpur berkata, semasa kejadian, dia yang mengambil cuti pulang ke kampungnya iaitu Kampung Simoi berada berhampiran pencawang elektrik berkenaan untuk membuat panggilan tele­fon kerana hanya kawasan itu mempunyai liputan talian.

“Saya baru sahaja membuat panggilan telefon bagi berta­nyakan khabar adik saya yang dimasukkan ke Hospital Bentong sebelum anak saya mema­suki kawasan itu menerusi pagar yang sudah roboh.

“Saya cuba mengejarnya sebelum mendengar jeritan dan melihat dia tercampak dengan keadaan baju yang hangus serta luka di bahagian kepala kerana terjatuh ke atas batu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Hanafi, dia cuba mengejutkan anaknya yang kemudian tersedar sebelum menghantarnya ke Klinik Kesihatan Pos Betau dan dihantar ke Hospital Lipis.

Ujar beliau, anak keduanya daripada empat adik-beradik itu yang mengalami melecur tahap tiga berada dalam keadaan stabil dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

“Saya kesal dengan kejadian itu yang berpunca daripada pagar yang sudah roboh dan boleh dimasuki sesiapa sahaja khususnya kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintenden Azry Akmar Ayob berkata, bapa mang­sa membuat laporan polis berhubung kejadian itu semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN