ARAU 2 Jan. – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) negeri ini bersedia menentang habis-habisan sebarang usaha mana-mana ketua bahagian untuk menyingkirkan ketua mereka, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Ketua Armada negeri, Shazwan Fahmi Badrul Sham menegaskan, kepada ketua-ketua bahagian ini, jangan sesekali cuba ‘menyimbah minyak ke dalam api’ kerana mereka tidak akan sesekali membiarkan pemimpin masa depan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu disingkirkan hanya kerana beliau membuat teguran yang betul.
Katanya, sayap parti itu akan berdiri teguh dan mempertahankan Syed Saddiq dengan cara apa sekali pun.
“Saya yakin hanya minoriti dari ketua-ketua bahagian yang ego sahaja mahu menyingkirkan Syed Saddiq. Hal ini kerana, Syed Saddiq telah menegur mereka dalam isu meminta kontrak secara terang-terangan di dalam persidangan parti itu baru-baru ini. Tindakan itu secara jelas telah melanggar prinsip parti yang bersatu, beramanah dan bermaruah.
“Kami menolak sebarang kenyataan atau budaya ‘warlord’ yang mahu mendapatkan kontrak atau tender melalui laluan politik. Apakah kita sudah lupa kebobrokan dan kesalahan yang berlaku ketika zaman UMNO dahulu?. Apakah kita lupa punca kenapa UMNO terkubur dalam pilihan raya lalu ?… Jangan ulangi benda yang sama.
“Teguran Syed Saddiq adalah tepat. Jika anda layak, syarikat anda mempunyai rekod bagus, kewangan yang stabil dan merit yang mencukupi, masuklah melalui tender terbuka dan tiada siapa boleh pertikaikan perkara itu,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai dakwaaan terdapat ketua-ketua bahagian yang berang dan sedang membincangkan usaha untuk menyingkirkan Syed Saddiq.
Ketua-ketua bahagian ini dikatakan tidak senang dengan ketegasan Syed Saddiq yang menyelar tindakan perwakilan menjadikan isu pemberian kontrak dan jawatan sebagai tajuk perbahasan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Kali Ke-2, baru-baru ini.
Isu tersebut berbangkit apabila Ketua Penerangan Armada, Ulya Aqamah Husamuddin mengecam cadangan Naib Presiden Bersatu, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman agar ketua bahagian dan ketua cawangan parti diberikan projek kerajaan.
Mengulas lanjut, Shazwan Fahmi berkata, perangai tidak boleh ditegur ini pernah wujud di dalam UMNO sebelum ini dan jangan diulangi perkara sama di dalam Bersatu.
“Ingatlah wahai ketua-ketua bahagian, dalam pemilihan nanti, kami yang akan undi anda, bukan anda undi kami,” katanya. – UTUSAN ONLINE










