PUTRAJAYA 30 Jan.- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Sheikh ‘Umar Bagharib Ali menyifatkan tuduhan liar berhubung pelantikannya sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) sebagai satu propaganda politik.
Ujar Sheikh ‘Umar, tuduhan yang dibuat atas alasan DAP sebagai anti Islam itu adalah tidak berasas oleh pihak tertentu bagi memburukkan parti tersebut.
Katanya, malah ia adalah satu tindakan bagi memburukan DAP dan Pakatan Harapan (PH) dalam kerangka politik sempit oleh Barisan Nasional (BN).
“Jadi kalau pertama kali daripada DAP apa masalahnya dan orang ada agenda tidak baik, dia akan cakap macam ini.
“Bagi kumpulan memahami daripada sudut positif, mereka akan mengatakan bahawa akan cakap dalam DAP boleh cakap pasal Islam, ini adalah satu perkembangan baik daripada sudut dakwah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim di sini hari ini.
Menurut Sheikh ‘Umar, kepimpinan DAP menjelaskan tiada masalah terhadap pelantikan berkenaan setelah beliau merujuknya kepada parti terlebih dahulu.
Ketika ditanya sama ada akan mengunakan peluang pelantikan itu untuk berdakwah dalam DAP, beliau menjelaskan dakwah adalah terbuka dan tidak terhad kepada ahli-ahli DAP sahaja.
“Mengapa kita perlu fokus pada DAP, kalau semua DAP, ini adalah satu naratif kerajaan lama.
“Jadi saya tak rasa untuk berdakwah dalam DAP dan sebagainya, dakwah saya dalam Yadim ini lebih luas bukan setakat Islam
atau bukan Islam sahaja,” katanya.
Sheikh ‘Umar merupakan antara 10 ahli politik yang dilantik sebagai Yadim.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini mempersoalkan kewajaran untuk melantik Sheikh ‘Umar yang merupakan ADUN DAP sebagai Ahli Lembaga Pemegang Yadim.
Asyraf Wajdi mendakwa DAP merupakan parti yang tidak pernah mahu mengiktiraf Islam sebagai agama negara selain menegaskan Yadim seharusnya kekal sebagai badan dakwah ulung melangkaui parti politik yang berperanan melebarkan kefahaman Islam dan menyebarkan dakwah Islamiah di kalangan rakyat sejak penubuhannya 1974.
Berbeza ketika zaman kerajaan Barisan Nasional (BN), kesemua ahli Lembaga Pemegang Yadim terdiri daripada tokoh agama, akademik dan profesional.
Antaranya Profesor Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Sidek Baba; Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul Akademi Pengajian Islam Universiti Malaysia, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid dan Pengarah Pusat Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datin Dr. Noor Aziah Mohd. Awal. – UTUSAN ONLINE











