KUALA LUMPUR 13 Jan. – Gambar seorang wanita sedang mengagihkan wang kepada sekumpulan pemuda Orang Asli yang tular mendapat perhatian bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C. Sivarraajh.
Beliau yang juga Naib Presiden MIC berkata, perbuatan tersebut mungkin dibenarkan kerana Pakatan Harapan (PH) kini menguasai Kerajaan Pusat.
“Ini tak apa sebab mereka Kerajaan Pusat. Kalau kita bagi kenduri untuk jentera pun salah besar sampai lima tahun tak boleh mengundi,” katanya dalam kenyataan di akaun Twitter miliknya, di sini hari ini.
Gambar tular tersebut menunjukkan seorang wanita memakai baju dengan logo PH mengagihkan wang kepada beberapa pemuda yang memakai baju sama.
Dalam gambar yang lain, kelihatan kira-kira 30 orang dengan baju sama sedang mendengar ucapan daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan calon PH bagi PRK Cameron Highlands, M. Manogaran.
Pada 30 November tahun lalu, Mahkamah Pilihan Raya di sini mengisytiharkan kemenangan Sivarraajh sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah terbatal dan tidak sah selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.
Hakim Datuk Azizah Nawawi ketika membuat keputusan itu memutuskan amalan rasuah terbukti telah dilakukan dengan pengetahuan dan persetujuan Sivarraajh dalam pilihan raya itu, iaitu pemberian wang kepada pengundi untuk mendorong mereka mengundi BN.
Pada 28 Disember lalu pula, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun mengumumkan Sivarraajh tidak boleh dipilih dalam mana-mana pilihan raya bagi tempoh lima tahun bermula dari 13 Disember lalu. – UTUSAN ONLINE










