Kakitangan SADA dilapor hilang, ditemukan maut dalam nahas - Utusan Malaysia

Kakitangan SADA dilapor hilang, ditemukan maut dalam nahas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM 20 Jan. – Seorang kakitangan Jabatan Mekanikal Syarikat Air Darul Aman (SADA) Alor Setar yang dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya sejak Rabu lalu, sebenarnya maut dalam nahas jalan raya di Jalan Persekutuan di Ladang Sungai Ular Serdang-Kulim di sini.

Mayat Muhammad Amir Abdullah, 25, ditemukan orang awam di dalam trak pikap Toyota Hilux dipandunya pada pukul 1.20 petang semalam, yang disyaki telah terjunam ke dalam sebuah gaung.

Abang mangsa, Mohammad Hafiz, 32, berkata, adiknya itu keluar dari rumah ibu mereka di Kampung Becah Sawa, Mukim Siong, Baling, pada Selasa lalu untuk menuju ke tempat kerja di Alor Setar.

Katanya, walau bagaimanapun, selepas itu dia yang tidak pulang ke rumah, gagal dihubungi ahli keluarga.

“Kami berusaha mencarinya melalui rakan sekerja dan mereka memaklumkan bahawa adik ketiga saya itu tidak datang ke tempat kerja.

“Kami kemudian terkejut apabila mengetahui kenderaan Muhammad ditemukan dalam sebuah gaung,” katanya di sini.

Menurutnya, jenazah adiknya itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, pukul 9.30 malam untuk tujuan bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintenden Ahmad Nasir Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung satu kemalangan jalan raya semalam.

Katanya, siasatan awal percaya mangsa terlibat dalam kemalangan pada awal pagi Rabu lalu dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ahmad Nasir berkata, punca kematian masih belum dikenal pasti dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN