PASIR PUTEH 6 Jan. – Kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Puteh melancarkan derma kilat untuk membantu meringankan bebanan keluarga pelajar kurang upaya, Raja Amirul Mukmin Raja Safari yang akan ke Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Sains (SMS) Machang, Selasa ini.
Ketua Pegawai Pendidikan Daerah itu, Harun Yusof berkata, kehebatan remaja yang tiada tiga jari pada tangan kiri sejak dilahirkan perlu dijadikan contoh oleh murid lain untuk cemerlang dalam akademik.
“Walaupun tinggal di rumah bekas reban ayam organik yang diubah suai, tanpa meja untuk belajar, sekadar menumpang bekalan eletrik dari rumah berdekatan, Raja Amirul Mukmin mampu tampil cemerlang dengan mendapat 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), baru-baru ini.
“Dia satu-satunya murid cemerlang Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Manak pada tahun lalu memikili peluang yang cerah untuk terus berjaya bagi merubah kehidupan keluarganya pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui Utusan Online di rumah keluarga berkenaan, di sini hari ini.

Harun dan rombongan pegawai PPD tersebut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada bapa pelajar itu, Raja Safari Raja Ibrahim, 38.
Menurutnya, kemiskinan keluarga tidak seharusnya menjadi penghalang untuk cemerlang dalam pelajaran kerana kekangan kesusahan sering mendapat simpati komuniti untuk membantunya.
“Saya bangga dengan ketabahan dan kekuatan semangat Raja Amirul Mukmin yang mampu mengharungi kemiskinan hidup dalam serba kekurangan bersama keluarganya.
“Kejayaannya yang menjadi hadiah buat keluarga perlu dikekalkan hingga ke menara gading,” katanya. – UTUSAN ONLINE










