Kajian pengubalan undang-undang dana politik peringkat akhir - Utusan Malaysia

Kajian pengubalan undang-undang dana politik peringkat akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 29 Jan.- Usaha kerajaan untuk mengubal satu undang-undang berkaitan perbiayaan dana parti politik di negara ini kini di peringkat akhir.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, kajian pengubalan berkenaan akta itu masih di peringkat perbincangan akhir membabitkan parti-parti politik.

Ketika ditanya sama ada undang-undang itu dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen Jun ini, Abu Kassim menjelaskan, sekiranya boleh pihaknya mahu akta itu dapat digubal dengan segera.

“Undang-undang itu kemudian akan didraf oleh Jabatan Peguam Negara sebelum dikemukakan dalam mesyuarat Kabinet.

“Saya tidak boleh dedah apakah butiran ini sehingga dibentangkan ke Parlimen, tetapi boleh dikatakan ia menyentuh pelbagai aspek termasuklah jumlah amaun, proses penerimaan dana dan hukuman,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pelan Antirasuah Nasional (NACP) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Menurut Abu Kassim, semua parti politik secara prinsipnya menyokong undang-undang ini kerana masing-masing mahu mengamalkan budaya integriti dalam pembiayaan dana politik.

“Setelah mendapat jawapan mengenai perkara yang mereka dibangkitkan dan sekiranya positif, kita akan teruskan rancangan untuk dijadikan sebagai draf undang-undang untuk dibawa ke Parlimen,” katanya.

Dalam isu berlainan, beliau berkata Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) akan mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap anggota yang melakukan kesalahan.

Katanya, perkara itu merupakan pembaharuan dalam suruhanjaya melalui satu pengubalan undang-undang di Parlimen.

“Kita telah berbincang dengan Jabatan Peguam Negara dan mereka beri kita masa untuk maklum balas kepada perkara dibangkitkan.

“Sekiranya positif, kita akan teruskan rancangan kita untuk menjadikannya sebagai draf undang-undang untuk dibawa ke Parlimen melalui Kabinet,” katanya.

Sementara itu, Abu Kassim memaklumkan, tidak menjadi satu kesalahan sekiranya ahli-ahli politik untuk dilantik dalam ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sekiranya mereka berkelayakan dan mempunyai merit.

Katanya, ia telah ditetapkan seperti mana digariskan dalam NACP. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×