KAFA serah isu gaji kepada PFAM - Utusan Malaysia

KAFA serah isu gaji kepada PFAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menyerahkan sepenuhnya kes tuntutan tunggakan gaji oleh bekas Kapten The Red Warriors, Mohd. Badhri Mohd. Radzi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) untuk tindakan selanjutnya.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pihaknya akan mengemukakan dokumen perjanjian kontrak yang diikat dengan Mohd Badhri sebelum ini selepas bekas pemain tengah Kelantan itu membawa kes terbabit kepada kedua-dua badan berkenaan.

“Kami dimaklumkan melalui FAM dan PFAM dokumen yang dihantar oleh Mohd. Badhri tidak lengkap dan perlu dihantar semula untuk dinilai sama ada betul atau tidak tuntutan gaji yang dibuat oleh pemain itu.

“Kita mahu pergi kepada saluran betul dan sekiranya dia ada masa cuba datang berjumpa kami untuk berbincang kerana setiap kali kami panggil dia tidak boleh hadir, malah sebelum ini kami juga pernah panggil dia untuk kembali menyertai pasukan namun dia kata sudah tawar hati untuk bermain bersama Kelantan,” kata Bibi Ramjani kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan persahabatan antara Kelantan dan Terengganu FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini malam tadi.

Pada perlawanan itu, Kelantan dan Terengganu masing-masing seri 1-1 menerusi jaringan gol oleh Igor Zonjic (Terengganu FC) pada minit ke-13 dan Muhammad Danial Haqim Draman (Kelantan) pada minit ke-31.

Sebelum ini, bekas Kapten TRW itu dilaporkan terus menuntut tunggakan gaji daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) selepas bekas majikannya itu terus membisu bagi menyelesaikannya.

Dalam perkembangan lain, Bibi Ramjani berkata, KAFA menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada Pengarah Teknikal TRW, Jorg Peter Steinebrunner bagi membimbing pasukan untuk melakukan persiapan untuk sepak mula Liga Premier pada Februari ini berikutan pasukan itu belum mempunyai ketua jurulatih.

“Kita tidak mahu mengulangi kesilapan seperti musim lepas dan perkara ini tidak menjadi masalah kerana Steinebrunner akan dibantu oleh pembantu jurulatih Kamaruddin Muhammad untuk mempersiapkan pasukan,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN