SINGAPURA 25 Jan. – Kadar penghantaran kargo untuk pukal kering dan kapal kontena yang membawa bahan mentah di dunia dan barangan siap menjunam sejak enam bulan lepas memperlihatkan ekonomi global yang perlahan.
Baltic Dry Index, yang mengukur penghantaran pengangkutan kapal untuk bahan-bahan seperti bijih besi dan arang batu, telah jatuh sebanyak 47 peratus sejak pertengahan 2018.
Penurunan itu susulan pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China menyebabkan dua ekonomi terbesar di dunia mengenakan tarif import ke atas barangan masing-masing.
Indeks Baltic telah kehilangan satu perempat daripada nilainya sejak awal tahun ini malah segmen pukal kering bukan satu-satunya pasaran perkapalan yang mengalami tekanan.
Harpex Shipping Index yang menjejaki kadar kontena, telah menurun sebanyak 30 peratus sejak Jun 2018.
Selain daripada permintaan terhadap barang penghantaran daripada pengeluar kepada pengguna, kadar kontena juga dilihat sebagai penunjuk ekonomi utama.
Kemerosotan itu berdasarkan data pembuatan yang direkodkan di Asia, Eropah dan Amerika Utara.
Ketua Pasaran Strategik FXTM, Hussein Sayed berkata, pertumbuhan ekonomi global yang perlahan, ketegangan AS-China dan drama Brexit mendorong kepada penghantaran kargo yang kurang rancak.
Di China, National Development and Reform Commission (NDRC) memberi amaran tekanan kepada ekonomi yang akan memberi kesan kepada pasaran pekerjaan susulan tempahan kilang yang menurun.
AS setakat ini dalam keadaan yang lebih baik daripada ekonomi utama lain, tetapi indeks pembuatan negara itu telah mencerminkan kelemahan sejak akhir 2018. – REUTERS










