PEKAN 29 Jan. – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas kesetiaan dan mendoakan kesejahteraannya selama ini sehingga baginda dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Titah Sultan Pahang Keenam itu, berkat ketentuan daripada Allah SWT dan perkenan raja-raja Melayu, baginda akan berangkat meninggalkan negeri ini untuk menggalas tugas sebagai ketua negara yang baharu berkuat kuasa Khamis ini.
“Terasa begitu pantas masa berlalu sehinggakan saya tiada berkesempatan untuk menziarahi setiap pelosok negeri untuk bersama-sama rakyat yang tidak putus-putus merakamkan ucapan tahniah dan mendoakan saya.
“Izinkan saya mengambil kesempatan ini merakamkan setinggi-tinggi junjungan kasih kepada Menteri Besar, kerajaan negeri dan seluruh rakyat jelata atas kesetiaan serta doa kepada saya selama ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada istiadat pelantikan dan pemasyhuran Tengku Ampuan dan Tengku Mahkota Pahang di Balairung Seri Istana Abu Bakar di sini hari ini.
Pada istiadat berkenaan, Tengku Puan Pahang, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj
dimasyhurkan sebagai Kebawah Duli Yang Maha MuliaTengku Ampuan Pahang
manakala Tengku Panglima Besar, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah sebagai Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang. – UTUSAN ONLINE










