BACHOK 15 Jan. – Dengan hanya bermodalkan RM100, seorang peniaga bundle (pakaian terpakai) di Kampung Tualang Salak, Jelawat, dekat sini mendapat rezeki terpijak lebih 200 kali ganda kelmarin.
Semuanya berpunca daripada dua guni pakaian terpakai setiap satu berharga RM50 yang dibelinya di sebuah gudang di Wakaf Bharu, Tumpat pada Sabtu lalu.
Wan Mohamad Adam Wan Mohamed, 29, berkata, ketika membuka salah satu guni tersebut kira-

kira pukul 8 malam kelmarin, dia menemukan sebuah dompet berwarna hitam berisi mata wang Jepun di dalam sehelai kot.
“Apabila membuka dompet itu saya terkejut apabila melihat wang kertas Jepun yang banyak. Saya memuat naik gambar ke Facebook dan mendapat pelbagai reaksi serta menjadi tular. Saya kira wang itu dan mendapati bernilai 550,000 Yen (RM20,790).
“Saya cuba mencari identiti pemilik wang ini namun tidak menemui sebarang kad identiti di dalam dompet atau kot tersebut,” katanya di sini hari ini.
Wan Mohamad Adam berkata, dia telah menukar sebanyak 450,000 Yen dan mendapat RM16,800 manakala baki mata wang tersebut akan disimpan sebagai kenangan.
Katanya, wang itu mungkin akan digunakan sebagai modal untuk membesarkan perniagaan yang baru berusia sebulan.
“Sejak sebulan lalu, saya telah membeli sebanyak 10 bundle pakaian terpakai dan kali ini saya mendapat rezeki terpijak.
“Warganet memberikan pelbagai reaksi cerita ini tular malah ada yang mahu membeli dompet serta kot ini tetapi saya tidak akan menjualnya kerana kedua-duanya adalah pembuka rezeki,” katanya.
Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, menurut pandangan Islam wang yang ditemui tanpa diketahui identiti pemiliknya harus diserahkan kepada Baitulmal.










