Jumlah kutipan sudah cecah RM60,000 - Utusan Malaysia

Jumlah kutipan sudah cecah RM60,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Jumlah kutipan untuk membantu rakyat Malaysia yang terkandas di Thailand, Abd. Wahab Yahaya, 56, sudah mencecah RM60,000 sejak dibuka bermula kelmarin.

Abd, Wahab terkandas di Krabi, Thailand setelah motosikal yang ditunggangnya bersama isterinya terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan seorang pejalan kaki warga Thailand maut ketika datang bercuti di pusat peranginan tersebut pada 19 Disember lalu.

Kemelut berlaku apabila keluarga kepada mangsa menuntut pampasan berjumlah RM200,000. 

Anak kepada pasangan itu, Amirun Abd. Wahab, 21, berkata, ayahnya dan abang iparnya akan bertemu dengan Gabenor Krabi esok untuk membincangkan permasalahan berkenaan kemalangan tersebut.

“Wakil dari Konsulat Malaysia di Thailand juga sudah bertemu dengan ayah saya semalam bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk menangani masalah tersebut selain menyampaikan sumbangan berbentuk makanan.

“Sehingga kini pihak kami masih menunggu sebarang perkembangan terbaru berkaitan dengan kes tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.

Kosmo! hari ini melaporkan Abd. Wahab dan isterinya terlibat dalam kemalangan di Thailand dan perlu membayar RM200,000 kepada keluarga mangsa yang maut dalam kejadian tersebut.

Akibat daripada kemalangan itu, beliau cedera di bahagian mulut dan perlu menjalani pembedahan untuk membuka jahitan dan skru di tulang pipinya manakala isterinya mengalami gegaran kecil di kepala.

Beliau juga perlu menghadapi proses perbicaraan di mahkamah dan berdepan kesukaran untuk meninggalkan negara jiran itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN