Jual Ijazah palsu: Eksekutif jualan mengaku tidak bersalah - Utusan Malaysia

Jual Ijazah palsu: Eksekutif jualan mengaku tidak bersalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 30 Jan.- Seorang eksekutif jualan dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berkaitan pemalsuan sijil Ijazah Sarjana Muda dari sebuah universiti swasta tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, C. Vijayakumar, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, Vijayakumar didakwa meminta rasuah RM12,500 daripada Mohd. Izham Mohd. Hashim, 38, sebagai upah mendapatkan sijil Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) di Universiti Multimedia (MMU) atas nama Mohd. Amzar Hashim tanpa mengikut prosedur yang betul.

Perbuatan tersebut dilakukan di sebuah restoran di De Centrum Mall, Jalan Ikram Uniten, Kawasan Institusi Bangi kira-kira pukul 3.50 petang pada 25 Januari tahun lalu.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang bukan kakitangan universiti itu turut didakwa menerima suapan RM1,500 daripada Mohd. Izham bagi tujuan sama.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Prima Avenue, Jalan Teknokrat 5, Cyberjaya, Sepang pukul 3.10 petang pada 6 April 2018.

Mahkamah menetapkan 20 Februari hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN