ALOR SETAR – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah masih belum menerima sebarang arahan pertukaran guru Pendidikan Islam, Nur Farhana Ibrahim, 27, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Genting di Balik Pulau, Pulau Pinang ke mana-mana sekolah di negeri ini.
Pengarah Pendidikan negeri, Abd. Aziz Selaiman berkata, pihaknya percaya JPN Pulau Pinang sedang menguruskan perkara itu dengan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian di bawah Kementerian Pendidikan.
“Kita di peringkat JPN Kedah hanya menunggu arahan sahaja dan jika ada arahan pertukaran antara negeri, kita akan tempatkan guru terbabit di sekolah berhampiran dengan rumahnya bagi menyelesaikan isu yang berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai permohonan Nur Farhana untuk ditukarkan ke negeri ini memandangkan dia terpaksa berulang-alik dari rumah mertuanya di Alor Senibong, Langgar di sini ke Sekolah Kebangsaan Genting di Balik Pulau, Pulau Pinang sejauh lebih 100 kilometer sehala.
Terdahulu, Abd. Aziz menghadiri majlis perjumpaan pengetua dan guru besar seluruh negeri ini di Dewan Seri Mentaloon di sini hari ini.
Kosmo! pada 18 Januari lalu melaporkan seorang ustazah SK Genting di Balik Pulau, Pulau Pinang, Nur Farhana yang dilaporkan hilang pada 14 Januari lalu telah dijumpai dalam keadaan murung di Kuala Kangsar, Perak tiga hari kemudian.
Suami Nur Farhana, Muhammad Naim Mahayadin, 29, dilaporkan memaklumkan bahawa isterinya itu pernah menerima rawatan akibat kemurungan pada 2014 berikutan terpaksa berulang-alik setiap hari dari Langgar ke Balik Pulau untuk mengajar di sekolah berkenaan. – K! ONLINE










