SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor akan mengkaji punca mengapa ramai pengguna jalan raya tidak memiliki lesen memandu.
Pengarahnya, Nazli Md Taib berkata, ia berikutan kesalahan paling tinggi dikesan pihaknya pada tahun lepas adalah tidak memiliki lesen memandu.
“Kami menitikberatkan masalah berkenaan dan juga mahu mengetahui punca mengapa masih ramai individu yang tidak mahu membuat lesen memandu.
“Adakah ujian memandu ini susah atau ada masalah lain yang menyebabkan mereka tidak mahu membuat lesen, jika ada yang mengatakan ia susah kita akan menyelidik perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan JPJ Selangor di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyampaikan sijil penghargaan kepada pihak media serta beberapa agensi yang terbabit dan berkerjasama dengan JPJ Selangor sepanjang tahun lalu. – Bernama










