KLANG – Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memuji keberanian seorang pekerja restoran menegur pelanggannya yang merokok di dalam restoran di Seksyen 25 di sini, Selasa lalu.
Pengarah JKNS, Datuk Dr. Khalid Ibrahim berkata, sikap tanggungjawab tersebut ternyata membuktikan pekerja terbabit memahami pewartaan larangan merokok di dalam premis makanan yang dikuatkuasakan bermula Isnin lalu.
Bagaimanapun, beliau secara peribadi melahirkan kekecewaan terhadap tindakan pelanggan tersebut yang menampar pekerja terbabit atas teguran yang baik.
“Sepatutnya orang awam menerima teguran itu secara terbuka kerana ini bukan isu berkaitan premis tersebut.
“Sebaliknya, ini merupakan pewartaan penguatkuasaan yang telah dilakukan kerajaan melalui Kementerian Kesihatan bagi memastikan mana-mana premis makanan bebas daripada asap rokok,” katanya ketika ditemui semasa program penguatkuasaan pendidikan kawasan larangan merokok sekitar daerah ini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu seorang pekerja restoran yang ditampar di bahagian pipi kirinya oleh seorang pelanggan selepas menegur mengenai larangan merokok di dalam restoran.
Jelas Khalid, kejadian seumpama itu merupakan kali pertama berlaku bukan sahaja di Selangor malah di negara ini.
Ujarnya, beliau telah mengarahkan pegawai JKNS ke restoran tersebut untuk mendapatkan maklumat berhubung kejadian itu sebagai satu rekod jabatan.
“Namun, siasatan menyeluruh bukan di bawah bidang kami kerana tidak melibatkan kakitangan JKNS dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk bertindak,” katanya. – K! ONLINE










