GUA MUSANG – Jenazah bayi syurga, Aamina Inayah Mohd. Hafezul, setahun 5 bulan yang meninggal dunia akibat mengalami kecederaan dalaman selepas dilanggar kereta di rumah pengasuhnya di Taman Kesedar Putra di sini, kelmarin, selamat dikebumikan pagi tadi.
Bayi itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kesedar Putra di sini pada pukul 2.45 pagi.
Sebelum itu, jenazah Aamina Inayah selesai dibedah siasat pada pukul 1 pagi dan telah disembahyangkan di Hospital Gua Musang.
Bapa Aamina, Mohd. Hafezul, 35, dan isterinya, Khazarina Sharing, 33, bersyukur apabila jenazah anak selamat dikebumikan dan reda dengan kejadian yang berlaku.
Melalui kiriman di Facebook ibu bayi syurga itu, Khazarina Sharing, 33, dia bersyukur apabila urusan pengebumian anak keduanya dipermudahkan.
“Alhamdulillah, anak syurga saya sudah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kesedar Putra, Gua Musang hari ini pukul 2.45 pagi waktu Malaysia.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan,” kata Khazarina menerusi catatan di Facebooknya.
Khazarina dikatakan kali terakhir berjumpa dengan Aamina pada 3 Januari lalu apabila suaminya Mohd. Hafezul Abdullah, 35, bersama Aamina dan seorang lagi anaknya pergi ke Mekah.
Khazarina mula berkhidmat sebagai jururawat di Arab Saudi sejak enam tahun lalu.
Sementara itu, Mohd. Hafezul ketika dihubungi berkata, mereka tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengasuh yang baharu menjaga Aamina seminggu lalu dan menganggap kejadian itu ketentuan takdir.
“Kami terima ujian ini kepada keluarga kami. Isteri juga kelihatan tenang dan menerima takdir, tetapi naluri sebagai seorang ibu tetap juga berasa sedih. Jika kami meratap hiba sekalipun, Aamina tetap tak akan kembali lagi,” katanya.
Dalam kejadian petang kelmarin, bayi perempuan berusia setahun 5 bulan maut selepas dilanggar kereta di rumah pengasuhnya di Taman Kesedar Putra, di sini.
Kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa, Aamina Inayah Mohd. Hafezul mengalami kecederaan dalaman disahkan meninggal dunia selepas setengah jam menerima rawatan di Hospital Gua Musang. – K! ONLINE
Gambar kenangan Aamina Inayah bersama keluarganya di Mekah, Arab Saudi baru-baru ini.









