KUALA TERENGGANU 2 Jan. – Fenomena cuaca berikutan ribut tropika Pabuk yang bergerak ke arah barat merentasi kawasan pantai Terengganu dan Kelantan boleh menyebabkan angin kencang melebihi 40 kilometer sejam dengan ketinggian ombak melebih 3.5 meter.
Sehubungan itu, Pengarah Meteorologi Terengganu, Rosli Zakaria menasihatkan para penduduk dua negeri berkenaan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti perkapalan serta pantai susulan keadaan angin kencang dan laut bergelora yang dijangka berlarutan hingga esok.
Beliau memberitahu, berdasarkan notis amaran cuaca waspada peringkat kuning yang dikeluarkan kelmarin, keadaan angin kencang ini turut berisiko mengakibatkan kerosakan kepada struktur binaan tidak kukuh serta menumbangkan pokok-pokok.
“Pemerhatian kami mendapati kelajuan angin meningkat mendadak sehingga 46 kilometer sejam pada pukul 12.30 tengah hari tadi semasa direkodkan di Pejabat Meteorologi Kuala Terengganu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Rosli, sepanjang tempoh tersebut hujan sederhana dan kadang kala lebat dijangka melanda hampir kesemua daerah di negeri ini serta Kelantan dan orang ramai diminta sentiasa berwaspada dengan risiko berkenaan.
Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Left. Kol. (PA) Che Adam Abd. Rahman meminta penduduk yang tinggal di kawasan berisiko agar bersiap sedia untuk berpindah sekiranya berlaku banjir susulan perubahan cuaca ketika ini.
“Penduduk perlu cakna tentang makluman semasa yang diwar-warkan oleh media dan pihak keselamatan supaya jika berlaku hujan lebat atau kemungkinan banjir mereka dapat segera berpindah ke pusat pemindahan yang dikenal pasti,” katanya. – UTUSAN ONLINE










