KUALA LUMPUR 26 Jan. – Ketua jurulatih Selangor, B.Sathianathan berasa bengang disebabkan sehingga ke hari ini, Selangor masih belum dapat menggunakan padang di Stadium Shah Alam, walaupun, perlawanan pertama akan berlangsung 3 Februari ini.
Tambahnya, selain halangan penggunaan stadium, ketiadaan pusat latihan tetap dan bilik persalinan tidak sempurna juga merupakan masalah buat pasukannya.
Sathianathan berharap pengurusan baharu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dapat memberi perhatian berhubung perkara itu.
“Selangor merupakan pasukan besar dan sudah lama dalam Liga Malaysia tetapi kelemahan yang saya lihat adalah dari segi fasiliti. Saya tidak salahkan pengurusan baharu tetapi persoalannya apa yang telah dibuat pengurusan lama selama ini.
“Sehingga kini, kita masih belum dapat bermain di padang stadium kerana ia masih dibaik pulih. Sepatutnya kita sudah dapat berlatih dan bermain perlawanan persahabatan di situ, apa yang dibuat tiga bulan sebelum ini.
“Kenapa baru sekarang mahu dibaik pulih pada saat akhir. Saya ada dengar secara rasmi selalunya perlawanan pertama di laman sendiri Selangor akan ditangguh dan bermain di laman lawan disebabkan masalah baik pulih stadium seperti tahun-tahun sebelum ini. Harap ia tidak berlaku tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran jersi utama dan kedua pasukan Selangor musim 2019 di Sunway Resort Hotel & Spa yang disempurnakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Sementara itu, mengulas mengenai isu Stadium Shah Alam yang masih belum siap, pengurus Red Giants, Datuk Rauf Ahmad berkata, venue rasmi tersebut selewat-lewatnya dapat digunakan pada 1 Februari ini.
“Kita memang akan guna stadium sebelum perlawanan menentang Felda United pada 3 Februari. Kita faham ada sedikit penambahbaikan padang dan harap dapat digunakan sebelum perlawanan bermula. Janji pihak stadium selewat-lewatnya 1 Februari, kalau lebih awal lagi bagus,” katanya.
Dalam perkembangan lain, berhubung status kecederaan Wan Zack Haikal Wan Nor, Rauf memberitahu, pemain itu tidak mengalami kecederaan anterior cruciate ligamen (ACL) seperti yang dilapor sebelum ini.
“Keputusan Wan Zack masih dinantikan daripada MRI yang akan keluar petang ini. kita harap kecederaan tidak serius dan dia tak perlu rehat panjang,” ujarnya.










