Jangan berselindung di sebalik badan penyelidikan, rakyat kini sedar ditipu - Utusan Malaysia

Jangan berselindung di sebalik badan penyelidikan, rakyat kini sedar ditipu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 28 Jan. – Pakatan Harapan (PH) diingatkan agar menerima hakikat kekalahan mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, adalah disebabkan ambang kebangkitan rakyat dan tidak mengambil ‘jalan mudah’ dengan menyalahkan UMNO dan Pas yang kononnya bermain sentimen agama dan perkauman.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Suraya Yaacob berkata, UMNO mahupun Pas tidak bermain perang saraf, sebaliknya rakyat sendiri yang semakin sedar bahawa mereka selama ini telah ditipu selain melihat sendiri pentadbiran negara yang kini kucar-kacir.

Sehubungan itu, menurut beliau, tidak perlulah mengada-adakan cerita dan bersikap prejudis terhadap kerjasama UMNO dan Pas, sehingga merendahkan kemampuan rakyat untuk menilai.

“Pihak berkenaan bukan hanya menggambarkan daya intelektual yang rendah, malah mereka seolah-olah merelakan diri menjadi alat propaganda parti politik dengan berselindung di sebalik badan penyelidikan. 

“Lebih mengecewakan, tuduhan seperti itu seolah-olah menghina daya pemikiran rakyat yang semakin sedar hakikat ditipu PH yang ternyata indah khabar berbanding rupa, konon cuba menghadiahkan ‘better’ (lebih baik) Malaysia namun sebaliknya hanya ‘bitter’ (pahit) Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Portal berita Malaysia Kini semalam melaporkan, pusat penyelidikan kerajaan Selangor, Institut Darul Ehsan (IDE) dipetik sebagai berkata, strategi perang saraf Pas dan UMNO yang memainkan sentimen Melayu diibaratkan sebagai suatu barah.

Dakwa pusat penyelidikan itu, kedua-dua parti itu cuba menanamkan perasaan takut dalam kalangan orang Melayu bahawa mereka tidak lagi menguasai negara ini sejak 9 Mei tahun lalu.

Sehubungan itu, Suraya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang berkata, PH diingatkan agar tidak mempergunakan pihak lain sebagai alat propaganda ala mainan politik purba. 

“Cermin dan suluhlah diri sendiri. Cepatlah belajar ‘move on’ (berubah) sebagai kerajaan kerana kami sedia mengajar kalian untuk menjadi pembangkang yang sihat dan berkaliber sebelum kami kembali ‘bertukar tempat’,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×