PUTRAJAYA – Sumbangan Kementerian Kewangan kepada institusi pendidikan tidak seharusnya dijadikan isu melainkan ia ditimbulkan dengan niat jahat untuk mengapikan sentimen perkauman dan ekstremisme.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan telah mengambil pendekatan inklusif dalam mempertimbangkan sumbangan kepada institusi pendidikan yang bukan bermotifkan keuntungan.
Jelasnya, kerajaan juga berusaha membantu sekolah-sekolah dan institusi pendidikan yang didaftarkan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengikut kemampuan kewangan semasa.
“Pihak kementerian telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM15 juta kepada Universiti Islam Malaysia (UIM) yang berstatus institusi pendidikan tinggi swasta dan tidak bermotifkan keuntungan.
“Adakah saya akan dilabel anti-Cina dan pro-Islam kerana meluluskan peruntukan RM15 juta kepada UIM atau dilabel sebagai pro-Cina atau anti-Melayu kerana luluskan peruntukan kepada kolej swasta New Era dan kolej swasta lain?,” katanya dalam satu satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan terdapat pihak yang mempertikai tindakan kerajaan memberi sumbangan peruntukan kepada sekolah-sekolah seperti sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) dan Kolej Universiti New Era baru-baru ini.
Sementara itu, menurut Guan Eng, sumbangan pihak kementerian kepada UIM juga tidak seharusnya dijadikan isu seperti sumbangan RM2 juta untuk Kolej New Era atau kolej swasta lain melainkan ia ditimbulkan dengan niat jahat untuk mengapikan sentimen perkauman dan ekstremisme.
Ujarnya, pihak yang tidak bertanggungjawab telah memainkan sentimen perkauman untuk membidas tindakan kerajaan atau kementerian memberi sumbangan peruntukan kepada sekolah-sekolah seperti SMPC dan Kolej Universiti New Era pada 11 Januari lalu.
“Dasar berterangkuman jelas dicerminkan dalam ucapan semasa Belanjawan 2019 apabila kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM652 juta untuk menaik taraf serta menyelenggara semua kategori sekolah berbanding dengan RM615 juta dalam Bajet 2018.
“Peruntukan belanjawan tahun ini termasuk RM12 juta yang disampaikan kepada SMPC dan RM25 juta untuk sekolah pondok yang tidak disediakan di dalam Bajet 2018,” katanya.
Tambah Guan Eng, peruntukan sebanyak RM25 juta kepada sekolah pondok yang berdaftar telah disampaikan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa pada 8 Januari lalu. – K! ONLINE










