Isyarat untuk Pakatan Harapan baiki keadaan - Muhyiddin - Utusan Malaysia

Isyarat untuk Pakatan Harapan baiki keadaan – Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 27 Jan. – Kekalahan Pakatan Harapan kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands sememangnya memberi isyarat jelas untuk gabungan tersebut memperbaiki keadaan.

Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya akan mendapat maklum balas daripada akar umbi mengenai kekalahan tersebut.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan, rakyat mungkin tidak berpuas hati mengenai kos sara hidup, pembangunan dan sebagainya sehingga mereka mengambil keputusan menolak Pakatan Harapan dalam PRK tersebut.

“Kita akan berusaha meskipun cabaran agak hebat. Tetapi ada juga pengajaran kepada kita walaupun tidak menang.

“Banyak perkara lagi Pakatan Harapan kena ambil kira supaya kita dapat memperbaiki keadaan. Kekalahan itu bukan disebabkan aura bekas Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak),” katanya dalam sidang akhbar selepas Kongres Melayu Perlis di Dewan Kecemerlangan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di kampus induknya di Pauh Putra di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan.

Dalam PRK Parlimen Cameron Highlands semalam, BN mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan majoriti besar iaitu 3,238 undi.

Calon BN, Ramli Mohd. Nor mendapat 12,038 undi menewaskan calon Pakatan Harapan, M. Manogaran yang mendapat 8,800 undi.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi jaminan kemelut yang berlaku membabitkan kepemimpinan Bersatu Perlis baru-baru ini akan selesai secepat mungkin.

Beliau memberitahu, pada masa ini, pihaknya mengambil alih seketika kepemimpinan di negeri itu sebelum melakukan penyusunan semula yang dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

“Kita berharap tidak ada mana-mana pihak ( pemimpin Bersatu Perlis) mengeluarkan apa-apa kenyataan pada masa ini, biarkan keadaan kembali tenteram. Insya-Allah ia akan selesai secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×