Israel : Tiada kaitan hak imigresen Sarawak - Utusan Malaysia

Israel : Tiada kaitan hak imigresen Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Jan. – Isu larangan terhadap atlet Israel bagi menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 tidak ada kaitan dengan hak imigresen negeri Sarawak.

Menurut jurucakap Sarawak For Sarawakians (S4S), Erick Chin, larangan itu terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Luar Malaysia dan jika Sarawak mahu menggunakan hak imigresennya bagi membenarkan atlet tersebut masuk lalu menyertai pertandingan tersebut, ia tetap sia-sia.

“Majlis Olimpik Malaysia (MOM) adalah perancang atau pemutus keputusan kejohanan antarabangsa dan Kuching adalah bandar tuan rumah. Walaupun kontinjen Israel terbang terus ke Sarawak melalui Singapura, jika MOM tidak membenarkan atau tidak menyusun program atlet Israel, pada akhirnya sukan ini pasti membawa banyak pertikaian.

“Ini juga bermakna walaupun kerajaan Sarawak dengan berani menggunakan hak imigresennya, akhirnya akan menghadapi bantahan dari MOM dan hasilnya nasib Sarawak tetap sama sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kritikan warganet yang mendakwa Sarawak tidak melaksanakan hak imigresennya bagi membenarkan atlet Israel beraksi dalam kejohanan itu.

Jelas Erick lagi, Sarawak sememangnya mempunyai autonomi dari segi imigresen tetapi ia tidak boleh digunakan sesuka hati tanpa penilaian yang munasabah.

“Sesiapa yang disenaraikan sebagai bukan parti diplomatik oleh kerajaan Malaysia sebenarnya boleh memintas Semenanjung Malaysia dan terus memasuki Sarawak melalui Singapura atau negara-negara Asia Tenggara lain jika kerajaan Sarawak membenarkan mereka masuk.

“Sarawak mempunyai autonomi imigresen dan pihak berkuasa perlu menggunakan kuasa mereka secara bijak, bukan penyalahgunaan tanpa membuat pertimbangan yang lebih jauh,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN