KUALA LUMPUR 7 Jan. – Bekas Pengerusi FGV Holdings Bhd. (FGV), Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad serta bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd. Emir Mavani Abdullah diarahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk memfailkan penyataan pembelaan masing-masing sebelum atau pada 4 Februari ini.
Penyataan pembelaan itu adalah berkaitan saman organisasi terbabit yang menuntut ganti rugi sebanyak RM7.69 juta daripada Mohd. Isa dan Mohd. Emir berhubung pembelian kondominium mewah terletak di Troika, Persiaran KLCC, di sini dengan harga yang dikatakan melebihi pasaran.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam Lavinia Kumaraendran yang mewakili Mohd. Isa kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar, Farah Shuhada Ramli. Kes itu juga ditetapkan untuk pengurusan kes pada 23 Januari ini.
FGV dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia 30 November lalu menjelaskan saman yang difailkan terhadap kedua-dua defendan itu adalah berhubung pembelian kondominium mewah yang terletak di Troika, Persiaran KLCC, di sini dan berkaitan penyalahgunaan kenderaan syarikat serta faedah petrol oleh Mohd. Emir.
Sehubungan itu, FGV menuntut RM4.54 juta daripada kedua-dua defendan berhubung pembelian kondo berkenaan serta RM3.15 juta daripada Mohd. Emir atas dakwaan menyalahgunakan kenderaan syarikat dan faedah petrol.
Di samping itu, syarikat itu selaku plaintif turut menuntut faedah pada kadar lima peratus setahun terhadap ganti rugi yang diberikan mulai dari tarikh pemfailan saman itu sehingga tarikh penyelesaian penuh dan muktamad.










