SEPANG – Pemegang rekod lempar cakera kebangsaan dan Sukan SEA, Muhammad Irfan Shamshuddin menegaskan bahawa dia tidak berperang dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu sidang akhbar khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebentar tadi.
Sebaliknya Irfan, 24, mengakui masih kecewa dengan Syed Saddiq dan Kementerian Belia dan Sukan yang didakwanya belum menjawab persoalan berhubung masa depan sukan Malaysia yang diutarakannya dalam laman sosial Instagram miliknya minggu lalu.
“Saya atlet yang mempunyai cita-cita besar dalam sukan dan saya sudah mencuba pelbagai saluran untuk mencari jawapan tetapi tidak dapat, akhirnya saya meluahkannya kepada menteri (Syed Saddiq) dalam Instagram baru-baru ini.
“Syed Saddiq ada cuba menghubungi saya dan sedia menghantar wakil untuk berjumpa tetapi saya tidak selesa.
“Saya hanya mahu bertemu dengan Syed Saddiq tetapi masa tidak mengizinkan kerana beliau tiada di Malaysia sekarang dan saya pula akan berlepas ke Eropah sebentar lagi,” katanya dalam sidang akhbar khas itu sebentar tadi.
Pemenang tiga pingat emas Sukan SEA dan perak Kejohanan Asia itu akan berlepas ke Prague, Republik Czech awal pagi ini untuk menjalani latihan selama 85 hari termasuk latihan di Antalya, Turki sebelum menghadapi Kejohanan Trek dan Balapan Asia (ATF) di Doha, Qatar pada April.
Irfan sanggup membelanjakan wang sendiri dengan anggaran menghampiri RM123,000 untuk berlatih di Eropah selama 12 minggu di bawah kendalian Imrich Bugar yang memerlukannya membayar jurulatih baharu dari Republik Czech itu sebanyak €625 (RM2,937) seminggu dengan kos keseluruhan berjumlah €7,500 (RM35,240). – K! ONLINE










