Intim dalam ilmu tasawuf - Utusan Malaysia

Intim dalam ilmu tasawuf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENURUT tokoh sufi tersohor, Ibn ‘Ata Allah al-Sakandari, al-uns (keintiman) kepada Allah merupakan perasaan yang didatangkan kepada seorang yang dalam perjalanan kerohanian (salik).

Hal ini biasanya dikurniakan ketika individu menghampirkan diri kepada Allah menerusi pelbagai ketaatan dan amalan. Malah, menurut al-Sakandari, keintiman kepada Allah hanya akan diperoleh menerusi praktis uzlah dan al-khalwah iaitu mengurangkan hubungan sesama makhluk berbanding Allah.

Adapun tokoh sufi yang lain, al-Sarraj menjelaskan bahawa perolehan dan penghayatan keintiman kepada Allah adalah turutan yang terhasil daripada perolehan hal al-shawq (rindu kepada Allah).

Al-Sarraj menambah bahawa keintiman dengan Allah ialah apabila seorang hamba itu sempurna membersihkan dirinya daripada dosa dan tulus zikirnya serta tidak mesra dengan segala sesuatu yang boleh menjadikan dia sibuk sehingga melupakan Allah. Maka pada waktu itu, Allah sudah begitu intim dengannya.

Jelaslah bahawa al-uns merupakan satu daripada pecahan hal dalam ilmu tasawuf. Ia dikurniakan kepada seseorang hamba apabila ketaatan dan amalannya benar-benar tulus kepada Allah serta kurang mesra terhadap makhluk di dunia berbanding Penciptanya.

Daripada aspek konotasi, istilah al-uns bi Allah (keintiman dengan Allah) seperti dicatatkan oleh al-Sarraj dalam kitab al-Luma’ adalah merujuk kepada kebergantungan seorang hamba kepada Allah, berasa senang dan mesra dengan-Nya serta sentiasa memohon pertolongan daripada-Nya.

Dalam konteks ini, terdapat golongan sufi menjelaskan bahawa al-uns merupakan hal yang dialami oleh seseorang hamba ketika hatinya penuh rasa cinta dan keindahan, kelembutan, belas kasihan serta keampunan daripada Allah.

KATEGORI KEINTIMAN

Menurut al-Sarraj, golongan yang mengalami dan menghayati al-uns berada dalam tiga kategori berikut:

1 Intim dan mesra dengan amalan zikir

* Perasaan intim dan mesra dengan perlakuan taat lalu berasa takut terjatuh ke dalam perbuatan dosa.

* Tokoh sufi Sahl bin Abdallah menjelaskan bahawa al-uns terawal daripada seseorang hamba ialah jiwa dan anggota tubuh badannya berasa mesra dengan akalnya lalu jiwanya berasa intim dengan ilmu syarak, kemudian akal, jiwa dan anggota badannya berasa intim dengan amalan yang tulus kerana Allah.

2 Intim dan mesra dengan Allah serta gelisah dengan perkara selain-Nya

* Tidak tenteram dengan sesuatu perkara selain daripada Allah seperti lintasan hati terhadap dunia.

* Ibrahim al-Maristani menjelaskan, apabila beliau ditanya mengenai al-uns, lalu beliau menjawab: “Gembira dan senangnya hati apabila bersama yang dicintai.”

3 Hilang keintiman setelah wujudnya al-haybah

* Kedudukan al-haybah adalah lebih tinggi berbanding al-uns.

* Golongan tokoh sufi mengatakan bahawa tahap al-haybah adalah seperti golongan al-arifin (ulama tasawuf) sedangkan al-uns hanya bagi anak murid.

Justeru, secara keseluruhannya dapat disimpulkan bahawa hal al-uns terhasil apabila penghayatan seorang salik mencapai tahap tulus mengingati Allah dan berasa gelisah dengan segala sesuatu selain daripada Allah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN