LONDON 25 Jan. – Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri berharap kejayaan pasukannya mara ke final Piala Liga selepas menewaskan Tottenham menerusi sepakan penalti mampu menjadi
titik tolak kepada musim pertamanya bersama The Blues.
Sebelum ini, Sarri mempersoalkan kekuatan mental pasukannya malah menuntut penyerang, Eden Hazard menunjukkan aksi sebenar supaya bangkit daripada kekecewaan selepas tewas 0-2 kepada Arsenal pada Sabtu lalu.
Dua gol yang dijaringkan N’Golo Kante dan Hazard membolehkan Chelsea melakar kemenangan 2-1 sekali gus menafikan defisit kekalahan 0-1 dalam aksi separuh akhir pertama.
Chelsea menewaskan Spurs 4-2 hasil sepakan penalti dan The Blues akan bertemu Manchester City di pentas final pada 24 Februari ini.
“Saya fikir dalam tiga atau empat perlawanan terakhir kami berdepan masalah. Masalah pertama adalah motivasi pemain dan pemain hilang keseronokan beraksi di atas padang.
Sekarang, dengan persembahan dan keputusan ini, kami boleh mencari semangat untuk pasukan,” kata Sarri.
Penyerang terbaharu Chelsea, Gonzalo Higuain turut kelihatan apabila dia diperkenalkan kepada peminat tuan rumah sebelum sepak mula, namun perpindahan pemain Argentina itu
dari Juventus tidak lengkap tepat pada masanya menyebabkan dia tidak dapat beraksi pada perlawanan tersebut. – AFP










