Ingatan kepada kerajaan PH - Utusan Malaysia

Ingatan kepada kerajaan PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Jan. – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands yang memihak kepada Barisan Nasional (BN) menjadi peringatan kepada kepemimpinan PKR dan Pakatan Harapan (PH) untuk peka terhadap kegelisahan rakyat berkaitan ekonomi dan kos sara hidup.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kepemimpinan PH juga perlu berusaha lebih gigih untuk memenuhi manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) serta menangani sebarang masalah berkaitan isu kaum dan agama dengan penuh hikmah demi kemaslahatan semua.

Kata Ahli Parlimen Port Dickson itu, PKR menerima keputusan PRK Cameron Highlands semalam dan mengucapkan tahniah kepada calon BN, Ramli Mohd. Nor yang dipilih menjadi wakil rakyat.

“PKR mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang telah mengendalikan PRK Cameron Highlands dengan baik terutama dari sudut pengurusan aduan awam serta pengumuman keputusan awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

BN menang besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands semalam dengan mendapat majoriti 3,238 undi.

Calon BN, Ramli Mohd. Nor memperoleh 12,038 undi menewaskan calon PH, M. Manogaran dengan 8,800 undi.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kelemahan terbesar PH adalah ketidakupayaan mengungkapkan wawasan bagi masa depan yang le­bih baik untuk rakyat di Cameron Highlands dan seluruh negara.

NIK NAZMI
NIK NAZMI 

Menurutnya, PH masih belum menunjukkan kepada rak­yat mengapa golongan ber­kenaan harus me­ngundi parti itu demi ekonomi yang lebih saksama dan inklusif untuk semua.

Tegas beliau, kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan perte­ngahan (M40) negara ini juga tidak boleh hidup berdasarkan ka­ta-kata manis semata-mata ma­­lah mereka memerlukan faedah yang boleh diukur.

Dalam pada itu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan kejayaan UMNO dan Pas menarik MCA dan MIC menyokong kerjasama parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands adalah di luar jangkaan.

Dalam masa sama, beliau turut menilai kegagalan calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran untuk menang antaranya disebabkan peratusan undi penyokong PH yang menurun sebanyak 15 peratus.

Begitu pun, jelas beliau, meskipun tewas, PH masih berjaya mengurangkan majoriti undi UMNO-Pas iaitu daripada 4,184 ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berbanding 3,238 undi pada PRK semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN