JAKARTA 26 Jan. – Pasukan kempen calon Presiden Indonesia, Prabowo Subianto-Sandiaga Uno mengkritik sebuah akhbar tabloid tempatan, Indonesia Barokah yang didakwa cuba memburukkan imej kedua-dua pemimpin itu.
Detiknews melaporkan, pengedaran akhbar tabloid itu di masjid dan sekolah asrama Islam di beberapa daerah Indonesia kurang disenangi Badan Pemenangan Nasional (BPN) Prabowo Subianto-Sandiaga Uno yang menyifatkannya sebagai percubaan mempengaruhi minda pengundi.
“Indonesia Barokah jelas mengandungi elemen kotor bagi menjatuhkan Prabowo. Pemilik syarikat seharusnya bertanggungjawab dalam memastikan pilihan raya Presiden (Pilpres) Indonesia bersih,” kata jurucakap pasangan Prabowo-Sandiaga, Suhud Alynudin di sini semalam.
Namun lain pula pandangan pasukan kempen Joko Widodo (Jokowi)-Ma’ruf Amin yang menyifatkan kandungan Indonesia Barokah itu langsung tidak mendatangkan sebarang manfaat dan ada kaitan dengan kedua-dua pemimpin terbabit.
“Kami tidak tahu siapa yang menerbitkan akhbar ini dan apabila kami membacanya, kami dapati kandungannya adalah berdasarkan fakta yang benar.
“Namun saya berpendapat, BPN masih mempunyai hak untuk melaporkan perkara itu kepada Badan Pemantau Pilihan Raya untuk mempertahankan calon mereka,” kata jurucakap ketua pasukan kempen Jokowi-Ma’ruf, Abdul Kadir Karding.
Sementara itu, Jurucakap Badan Pengawasan Pemilihan Umum (Bawaslu), Ratna Dewi Pettalolo menjelaskan, berdasarkan siasatan awal mereka, alamat yang tertera di akhbar itu tidak wujud. – AGENSI
“Kami bekerjasama dengan polis dan telah meminta masjid-masjid supaya pengedaran tabloid itu kepada umum dihentikan segera,” katanya. – AGENSI










