NILAI – Polis berjaya menemui sepucuk pistol jenis Revolver yang dipercayai digunakan oleh seorang imam di Masjid Kampung Bukit Kadir dekat sini semasa berselisih faham dengan isterinya berhubung dua batang pokok rambutan di rumah mereka pada 24 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, suspek yang juga bekas anggota polis berpangkat sarjan di Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah menanam pistol itu di Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Selangor.
“Suspek yang ditahan pada hari kejadian pada mulanya menafikan ada memiliki atau melepaskan tembakan. Dia mengaku hanya memukul isterinya. Bagaimanapun pada 26 Januari lalu suspek mengaku ada menyimpan pistol Revolver dan melepaskan tembakan semasa kejadian.
“Pada mulanya suspek mendakwa dia membuang pistol itu ke dalam sungai yang terletak di belakang Masjid Kampung Bukit Kadir. Dia kemudian mengubah pengakuan pistol itu ditanam di Pulau Indah semasa mahu dibawa ke sungai itu semalam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.
Semalam akhbar Kosmo! melaporkan seorang imam berusia 63 tahun ditahan polis kerana disyaki memukul isterinya sebelum melepaskan satu das tembakan menggunakan sepucuk pistol gara-gara berselisih faham dengan isterinya itu berhubung dua batang pokok rambutan di rumah mereka di Kampung Bukit Kadir.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, suspek bertindak demikian gara-gara tidak berpuas hati dengan tindakan isterinya memajak pokok rambutan berkenaan yang telah berbuah kepada penduduk kampung.
Suspek yang bersara pada tahun 2015 dan berkhidmat sebagai Imam 2 di Masjid Kampung Bukit Kadir ditahan reman selama tujuh hari sehingga 31 Januari ini bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
Mohd. Nor Marzukee berkata, polis menemui pistol itu di tanam di sebuah kawasan di Kampung Sungai Pinang semalam dan turut menemui beberapa butir peluru disorokkan dalam sampul surat atas rak besi di belakang rumahnya di Kampung Bukit Kadir.
Menurut beliau, polis turut merampas satu gari polis di sorok di bahagian tempat duduk penumpang hadapan kereta suspek, satu sarung pistol dan 90 butir peluru shortgun yang disorok dalam stor kayu di hadapan rumah suspek sepanjang siasatan kes tersebut berjalan. – K! ONLINE









