Ikuti langkah KKM elak jangkitan rabies - Utusan Malaysia

Ikuti langkah KKM elak jangkitan rabies

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Jan. – Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan penyebaran penyakit rabies susulan pewartaan mukim Taiping dan Bukit Gantang di Perak sebagai kawasan jangkitan penyakit itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, langkah tersebut termasuklah mencuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit untuk menghilangkan kesan air liur.

“Sekiranya digigit, dapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital terdekat dan pastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan anti-rabies serta elakkan mereka bercampur dengan anjing atau haiwan liar.

“Jika anjing atau kucing didapati berubah tingkah laku termasuk menjadi agresif, dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Noor Hisham memberitahu, orang ramai juga perlu melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal.

Tambah Noor Hisham, sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan cuci tangan dengan betul menggunakan air dan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×