TAN Sri Mazlan Nordin bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu era 1980-an, merupakan wartawan akhbar Melayu pertama yang berjaya mewawancara gadis Belanda Natrah atau nama sebenarnya Huberdina Maria Hertogh ketika ditugaskan membuat liputan kes kontroversi itu di Mahkamah Singapura pada 12 Disember 1950.
Beliau yang menulis artikel bertajuk Dari Pemberita ke Pengarah Urusan dalam buku Di Sebalik Jendela Utusan Suara Keramat sempena Ulang tahun ke-50 Utusan Melayu 1939-1989, mengakui tugasan itu merupakan peristiwa paling penting dalam kerjayanya sebagai seorang wartawan.
“Awang berjaya mendapatkan izin Konsul General Belanda untuk menginterview Natrah setelah akhbar Straits Times dan Singapore Standard menyiarkan berita demi berita mengenainya, khususnya berita Singapore Standard 5 Disember bertajuk Berta Knelt Before Virgin Mary Statue di tempat tinggal sementara Convent of the Good Shepherd, Thompson Road,” cerita Mazlan membahasakan dirinya ‘Awang’ seperti dalam pojok Awang Selamat di Mingguan Malaysia yang dikendalikannya.
Ketika itu beliau baru berkhidmat sebagai pemberita dengan Utusan Melayu di Singapura dan melaporkan insiden demi insiden yang melibatkan ‘Rusuhan Natrah’ pada 12 Disember 1950.
“Ini suatu peristiwa tragis seorang wanita (Natrah) yang kerananya 18 orang terbunuh, 173 cedera, 10 dihukum gantung dan kira-kira 50 orang dihukum penjara.
“Ia boleh dianggap Greek Tragedy, sesuatu yang kita saksikan sedang berlaku dan ketahui akan membawa akibat malang tetapi tidak dapat berbuat apa-apa bagi menghindarkannya,” tulis Mazlan lagi.
Namun sesuatu yang menjadi persoalan Mazlan ketika itu ialah kenapa pihak berkuasa kerajaan Singapura menempatkan Natrah di sebuah ‘convent’ sedangkan Natrah sedari kecil lagi telah menganut agama Islam.
“Apakah kepada mereka orang Melayu Singapura tidak penting lagi kerana ia sudah menjadi golongan minoriti dan sensitiviti masyarakat Islam yang juga minoriti boleh diketepikan begitu saja?” soal Mazlan.
Beliau seterusnya bertanya apakah rusuhan Natrah berlaku akibat pertembungan dua peradaban antara Barat dan Melayu-Islam.
Beliau bertanya:“Atau apakah pendapat bahawa rusuhan itu berlaku kerana bertembungnya dua peradaban, yang satu Inggeris dengan undang-undang sekularnya dan yang satu lagi peradaban Melayu-Islam yang berpendapat bahawa siapa yang menyusukan anak (Cik Aminah) dialah yang punya” (MazlanNordin 1989:76).
Ketika rencana Mazlan itu ditulis pada tahun 1989, karya Samuel P. Huntington The Clash of Civilizations and the Remaking of World Order (Pertembungan Tamadun dan Pembentukan Semula Order Dunia) belum diterbitkan. Huntington meramalkan pertembungan peradaban antara Barat, Islam dan Confucius dalam buku tersebut yang diterbitkan oleh Simon & Schuster Limited 1997.
Paling menarik, Mazlan menceritakan salah satu tugas tambahan beliau selain menjadi pemberita semasa membuat liputan kes Natrah di Singapura pada tahun 1950 ialah membawa wang derma orang ramai yang mencurah-curah diterimanya untuk tabung pembelaan gadis keturunan Belanda itu dan membawanya ke rumah tempat tinggal Cik Aminah di Rowell Road .
“Wang derma terus diberi kepada Awang. Tiada siapa yang mengira berapa yang diterima, berapa jumlah pada sekian hari dan berapa banyak yang telah diserahkan,” tulis Mazlan lagi.
“Ini suatu peristiwa tragis seorang wanita (Natrah) yang kerananya 18 orang terbunuh, 173 cedera, 10 dihukum gantung dan kira-kira 50 orang dihukum penjara.”










