PASIR GUDANG 2 Jan. – Seorang ibu tunggal kepada tiga anak memerlukan bantuan dalam meringankan beban dihadapinya kerana dua anaknya tidak normal seperti kanak-kanak lain.
Nurul Ain Zakaria, 33, kini, tidak dapat bekerja bagi menjaga anak-anaknya dan hanya bergantung kepada wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM1,000 sebulan.
Menurutnya, jumlah berkenaan bagaimanapun tidak dapat menampung kehidupan mereka sekeluarga kerana perlu menampung kos perubatan dua anak serta kos persekolahan.
“Anak sulung saya, Nur Adriana Aqilah Mohamad Fairuz yang berusia 10 tahun mengalami masalah saraf yang turut mengganggu ingatannya.
“Sementara anak ketiga saya, Nur Aurora Darmaya berusia lima bulan mengalami masalah kegagalan pernafasan selain penyakit kekejangan otot sejak dilahirkan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Air Biru di sini semalam.
Selain Nur Adriana Aqilah dan Nur Aurora Darmaya, Nurul Ain turut memiliki seorang lagi anak iaitu Mohamad Izz Darwisy yang kini berusia 8 tahun.
Nurul Ain berkata, perbelanjaan bulanan banyak dihabiskan untuk perubatan kedua-dua anaknya yang kurang sihat.
“Perbelanjaan bagi Nur Aurora Darmaya adalah untuk minumannya iaitu susu khas selain kos lampin pakai buang dan pengangkutan untuk ke hospital kerana saya tidak memiliki kenderaan.
“Bagi Nur Adriana Aqilah pula, perbelanjaannya adalah membabitkan ubat yang perlu diambil untuk mengawal emosinya yang sering terganggu khususnya ketika tertekan, contohnya apabila berada di tempat ramai orang,” katanya.
Prihatin dengan dugaan dihadapi ibu tunggal ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh menziarahi keluarga berkenaan sambil menyampaikan sumbangan.
“Saya akan membantu Nurul Ain dan anak-anaknya bagi mengurangkan beban perbelanjaan perubatan dan persekolahan anaknya,” katanya.
Sesiapa yang mahu menghulurkan sumbangan kepada Nurul Ain, boleh berbuat demikian menerusi akaunnya di Public Bank bernombor 6818759121 atau menghubunginya menerusi talian 012-2776670.










