Ibu teruja melahirkan anak pada hari pertama tahun baharu - Utusan Malaysia

Ibu teruja melahirkan anak pada hari pertama tahun baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 2 Jan. – Seorang suri rumah gembira apabila hasrat suaminya untuk menyambut kelahiran anak kedua mereka pada tahun baharu tercapai selepas bayi lelaki seberat 2.97 kilogram itu dilahirkan pada pukul 7.08 pagi tadi.

Bayi yang akan dinamakan Muhamad Faiz Syazwan Muhamad Faizul itu merupakan antara 13 bayi yang selamat dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bermula pukul 12.35 tengah malam tadi sehingga 8 pagi ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai empat bayi dilahirkan secara pembedahan manakala selebihnya dilahirkan secara normal.

Menurut Nor Safura Shukor, 27, suaminya telah mula memasang hasrat bayi tahun baharu sebaik sahaja dimaklumkan doktor bahawa tarikh jangkaannya bersalin jatuh pada bulan Januari.

Katanya, keterujaan itu turut dikongsi oleh ibu bapa mereka yang kerap ‘berpesan’ agar cucu kedua itu lahir pada tarikh istimewa tersebut.

“Lepas sembahyang, saya selalu usap perut dan pesan pada adik, kalau boleh mahu dia lahir cukup bulan, tidak mahu seper­ti kakaknya yang terpaksa ditahan di wad kerana lahir tidak cukup bulan.

“Saya juga pesan keluarlah pada bulan Januari tetapi tidak sangka langsung dia akan lahir pada tarikh yang istimewa ini. Semua ahli keluarga teruja dan gembira hari ini,” katanya ketika ditemui di wad bersalin HRPB di sini semalam.

Sementara itu, ibu kepada empat cahaya mata, Nurul Mas Asmida Rasib, 24, berkata, kelahiran bayi keempatnya itu tidak dijangkakan kerana tarikh sebenar untuknya bersalin adalah pada 18 Januari ini.

Katanya, dia yang mengalami tanda-tanda awal bersalin pada pukul 7 petang kelmarin segera datang ke HRPB pada pukul 12 tengah malam sebelum selamat melahirkan bayi lelaki pada pukul 4.08 pagi.

“Saya tidak sangka dia akan lahir awal dua minggu daripada tarikh jangkaan asal. Apa pun kami gembira dan sekarang sedang memilih nama yang sesuai,” katanya yang melahirkan bayi seberat 2.4 kilogram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN