Ibrahim tekad selesai isu pelantikan Undang Luak Jelebu - Utusan Malaysia

Ibrahim tekad selesai isu pelantikan Undang Luak Jelebu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU 27 Jan. – Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Raja Sehari (Dato’ Menteri) Luak Jelebu baharu, Ibrahim Harun, 63, berazam untuk menyelesaikan isu pelantikan Undang Luak Jelebu ke-16 yang telah tertangguh lebih empat tahun lalu.

Beliau selaku pemangku jawatan Undang Luak itu berkata, ia belum dapat diisi sejak kematian Undang Luak Jelebu ke-15, Datuk Musa Wahab pada 11 September 2014 akibat beberapa masalah tertentu yang menyaksikan beberapa pihak telah bertindak membuat pengisytiharan sendiri sebagai Undang luak tersebut.

“Saya sedar banyak tugas dan cabaran yang bakal menanti untuk kita membina semula adat Luak Jelebu selaku `Pohon Adat’ dan seterusnya melantik Undang Luak Jelebu ke-16 secepat mungkin.

“Marilah kita berdoa dan bekerjasama dengan adanya permuafakatan seperti hari ini akan dapat mengisi semula kekosongan Undang Luak Jelebu mengikut peraturan yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sulung selepas dikerjan (ditabal) sebagai Dato’ Menteri yang baharu pada Istiadat Kerjan di Telapak Ibu Soko, Siti Zaleha Harun dekat Kuala Klawang di sini hari ini.

Bekas Penolong Pegawai Pertanian Risda itu dari Perut Ara Menteri Kampung Mengkan dilantik ke jawatan itu menggantikan Ismail Mohd. Zain.

Yang turut hadir, Dato’ Ombi Pangkal Maharaja Lela (Dato’ Ombi) Kadim Kidam, Dato’ Raja Balang Norhairizan Ab. Mukti, Dato’ Maharaja Inda Mohd. Nordin Mansor, Dato’ Paduka Menti Abdul Aziz Zaini, Dato’ Senara Angsa Rosly Mohd. Zain dan Dato’ Shahbandar Mohd. Rathi Shamsudin.

Pada majlis itu Buapak Waris Perut Ara Menteri Kampung Mengkan, Dato’ Siamar Dagang Mohammad Taib mengisytiharkan Ibrahim sebagai Dato’ Menteri yang baharu.

Siti Zaleha kemudian memakaikan pakaian adat berupa destar dan menyerahkan lambang kuasa iaitu sebilah keris kepada Ibrahim.

Kadim turut menandatangani watikah pengisytiharan Ibrahim sebagai Dato’ Menteri dan pemangku Undang Luak Jelebu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN