IAM, Etiqa ringankan beban murid miskin - Utusan Malaysia

IAM, Etiqa ringankan beban murid miskin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DIKURNIAKAN kekayaan mahupun harta melimpah ruah bukanlah anugerah yang perlu dinikmati sepuas-puasnya, tetapi merupakan satu bentuk ujian daripada Allah untuk menilai tahap keimanan seseorang hamba-Nya.

Ini kerana, dalam setiap kekayaan dimiliki, terdapat sebahagian harta orang lain yang perlu diagihkan iaitu kepada golongan memerlukan. Ini sebagai firman Allah maksudnya: “Dan pada harta-harta mereka ada hak orang miskin yang meminta dan orang miskin tidak meminta (kerana menjaga kehormatan dirinya)” (Adz-Dzariyaat: 19)

Prihatin terhadap kesusahan ditempuh pelajar luar bandar, Islamic Aid Malaysia (IAM) dengan kerjasama Etiqa Takaful Berhad (Etiqa Takaful) baru-baru ini menyumbangkan beg dan pakaian seragam sekolah sempena program Kembali Ke Sekolah 2019 peringkat Pahang. Majlis berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Sungai Koyan, Lipis.

Seramai 200 murid dari lapan sekolah kebangsaan di kawasan Jelai masing-masing menerima sumbangan dua pakaian seragam, kasut, stoking, tudung bagi pelajar perempuan dan beg sekolah.

Antara sekolah terpilih adalah SK Felda Sungai Koyan, SK Lubuk Kulit, SK Batu Yon, SK Kuala Medang, SK Keledek dan SK Tanjong Gahai.

Sumbangan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Pantai Timur Etiqa Takaful, Tengku Saiffudin Tengku Zainal Abidin dan Presiden IAM, Zawahir Abdullah.

Tengku Saiffudin berkata, sumbangan itu merupakan antara tanggungjawab sosial korporat agensinya dalam membantu meringankan beban pelajar yang terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan supaya bersemangat ke sekolah.

“Bantuan kebajikan ini adalah bawah tanggungjawab Unit Zakat Korporat Etiqa Takaful yang disalurkan terus kepada IAM bagi program kemanusiaan murid luar bandar.

“Untuk pelajar miskin di Pahang, kita menyumbangkan wang zakat ini sebanyak RM60,000 kepada IAM untuk disampaikan kepada pelajar terpilih,” katanya selepas penyampaian sumbangan itu baru-baru ini.

Menurut Tengku Saiffudin, seramai 1,600 pelajar miskin dari lapan negeri iaitu Kelantan, Pahang, Johor, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Sabah dan Sarawak telah dan bakal menerima bantuan menerusi program ini sepanjang tahun ini.

“Pahang merupakan negeri penerima kedua selepas Kelantan. Kami memilih Lipis selepas beberapa sekolah di daerah Kuantan juga pernah terbabit dengan program yang sama tahun lepas,” katanya.

PERANTARA BANTUAN

Sementara itu Zawahir berkata, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), IAM memainkan peranan sebagai pengantara bagi mana-mana individu mahupun golongan korporat atau syarikat swasta yang ingin melaksanakan program kebajikan serta tanggungjawab sosial kemanusiaan membantu golongan memerlukan.

“Kita baru sahaja selesai menjalankan misi kemanusiaan di Palu, Sulawesi pada bulan lepas dan kembali turun padang ke seluruh negara bagi melestarikan kebajikan penduduk setempat yang memerlukan khususnya ibu tunggal, penghidap penyakit kronik, orang kurang upaya dan pelajar,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berterima kasih kepada pengurusan Unit Korporat dan Syariah Etiqa yang menyediakan peruntukan zakat berkenaan bagi menjalankan misi kemanusiaan sehingga dapat membantu pelajar yang susah supaya lebih selesa belajar sekali gus menjana kecemerlangan dalam akademik.

Dalam pada itu, murid SK Felda Sungai Koyan, Ikhwan Abdul Malim, 10, bersyukur menerima sumbangan itu sekali gus meringankan sedikit tanggungan ibu bapanya membuat persiapan persekolahannya lima beradik.

Tambahnya, dalam senario kenaikan harga barang yang tidak menentu terutama pakaian seragam, buku dan peralatan belajar, kehadiran pelbagai pihak NGO dan badan korporat memberikan bantuan kepada penduduk susah amat wajar dan dipuji.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN