KUALA LUMPUR 7 Jan. – Kenyataan segelintir warganet menghina institusi raja dianggap melampau walaupun mereka sudah memohon maaf atas kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini.

Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Muhammad Fadzli Hassan berkata, tindakan itu adalah perbuatan tidak bertanggungjawab kerana menghina institusi diraja negara ini.
“Apa juga perkara dan tindakan yang membawa kepada penghinaan institusi diraja sewajarnya dikenakan hukuman tegas tanpa kompromi.
“Perbuatan mereka melambangkan sikap yang tidak menghormati Perlembagaan dan kepemimpinan tertinggi negara,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan dua individu iaitu pekerja syarikat Sisco, Eric Liew dan Ahli Majlis Daerah Pontian, Mohammad Kamarul Ariffin Harris Fadzillah yang masing-masing mengeluarkan kenyataan berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V serta Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Muhammad Fadzli memberitahu, kebebasan bersuara bukan alasan individu untuk mengeluarkan kenyataan yang boleh menyumbang kepada pepecahan dalam kalangan masyarakat.
“Rukun Negara kedua iaitu ‘Kesetiaan kepada Raja dan Negara’ menjadi mainan oleh mereka yang sudah tidak layak menjadi warganegara Malaysia kerana tidak memegang kepada prinsip tersebut,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE









