PUTRAJAYA 27 Jan. – Walaupun berstatus Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, daerah ini tidak terkecuali daripada kes-kes kecurian dan vandalisme.
Antara yang kerap berlaku adalah kecurian besi penutup lubang utiliti dan longkang di kawasan penduduk.
Utusan Malaysia difahamkan, antara kawasan yang teruk mengalami masalah itu adalah di Presint 11 dan Presint 8 yang terletak berhampiran kediaman rasmi Perdana Menteri.
Penduduk mendakwa, sehingga awal tahun ini, lebih 30 penutup besi dicuri untuk dijual semula dan mengaut untung dengan cara mudah.
Cuma apa yang agak membimbangkan penduduk ialah keadaan lubang utiliti yang sebahagiannya masih tidak diganti pihak berkuasa.
Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Jalan A1 Presint 11, Carlos Najmul Basri mendakwa, kecurian penutup utiliti bukan sahaja berlaku pada waktu malam tetapi juga pada siang hari.
“Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kediaman penduduk, suspek dilihat berkeliaran beberapa hari sebelum melakukan kegiatan berkenaan.
“Kami risaukan keselamatan penduduk. Mula-mula mungkin penutup besi, lepas ini tak mustahil mereka berani masuk untuk merompak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Ujar Carlos, longkang yang terbuka tanpa penutup itu boleh mengundang bahaya kepada penduduk khususnya kanak-kanak yang bermain di kawasan luar rumah.
Katanya, walaupun belum ada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku kepada penduduk, Perbadanan Putrajaya (PPj) seharusnya bertindak lebih cepat mengatasi masalah ini.
“Buat masa ini, penduduk mengambil inisiatif sendiri dengan menutup lubang berkenaan dengan kayu bagi mengelak orang ramai daripada terjatuh dalam lubang sedalam kira-kira dua meter itu.
“Kemalangan seperti ini tidak boleh dipandang remeh kerana bukan sahaja mendatangkan kecederaan bahkan boleh menyebabkan kematian,” katanya.










