Hidup perit harga sawit jatuh - Utusan Malaysia

Hidup perit harga sawit jatuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT 26 Jan. – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Itulah perumpamaan paling sesuai bagi menggambarkan pasangan warga emas di Felda Kota Gelanggi 2, dekat sini yang berdepan kesukaran menguruskan perbelanjaan anak mereka yang terlantar sakit pada saat pendapatan keluarga itu me­runcing ekoran kejatuhan harga sawit.

Keperitan hidup ditanggung pasangan peneroka berkenaan, Mohd. Ali Maidin, 72, serta isterinya, Aminah Omar, 62, bermula sejak 2010 apabila anak bongsu mereka, Rodiah Bibi, 31, terlibat dengan kemalangan jalan raya di Felda Hulu Jempol, Maran dekat sini.

Situasi makin serius apabila pendapatan bulanan hasil kelapa sawit diusahakan mereka sejak enam bulan lalu merosot dengan ketara.

Aminah berkata, sejak kemalangan tersebut, mereka menjaga kebajikan Rodiah Bibi khususnya dari segi perbelanjaan harian selepas terlantar akibat kerosakan saraf di kepala, malah dia tidak boleh bercakap.

“Semasa mula-mula dirawat selama sebulan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh, saya dan suami banyak mengeluarkan wang bagi menjaga kebajikan anak kami sehingga dia dibenarkan pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di Felda berkenaan hari ini.

Menurut Aminah, sehingga kini, Rodiah Bibi masih di bawah pemantauan doktor dan hanya terlantar dia atas katil.

Katanya, dalam kesempitan hidup itu mereka bersyukur apabila menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 untuk keperluan Rodiah Bibi.

“Namun wang perbelanjaan kami sekeluarga masih tidak mencukupi bagi menguruskan keperluan lain seperti membayar bil elektrik dan air,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Ali berkata, kehidupan keluarga mereka bertambah buruk ekoran kejatuhan harga sawit sehingga menyebabkan pendapatan bulanan mereka di bawah RM300, tidak mencukupi untuk menguruskan kehidupan seharian.

Dalam keadan usia semakin meningkat, kata Mohd. Ali, dia mengerah kudrat melakukan pelbagai kerja sampingan termasuk menjual tin minuman dan membantu kedai koperasi Felda semata-mata untuk memperoleh wang.

“Kesihatan saya juga tidak mengizinkan bekerja kuat, kudrat semakin berkurangan dan saya tidak mampu berdiri lama termasuk mengangkat barangan berat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN