KUALA LUMPUR – Tindakan masyarakat yang sering menularkan sesuatu kejadian jenayah menerusi media sosial memberikan kesukaran kepada pihak polis untuk menjalankan tugas.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, insiden yang tular di media sosial akan menyebabkan masyarakat terus menjatuhkan hukuman kepada individu yang dipaparkan dalam sesuatu video.
“Perkara itu sedikit sebanyak memberi kesukaran kepada pihak polis kerana orang ramai menjatuhkan hukum begitu sahaja di mana ia mungkin salah.
“Masyarakat perlu faham bahawa pihak polis perlu melakukan siasatan terlebih dahulu sebelum sesuatu hukuman dijatuhkan dan ia juga bergantung kepada kes,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tambahnya, masyarakat tidak harus menularkan sesuatu kes di media sosial sebaliknya terus membuat laporan kepada pihak polis.
Beliau berkata demikian pada Program Kepolisan Berprofil Tinggi (HPP) di pusat beli-belah Leisure Cheras di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner, Rusdi Mohd. Isa dan Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon. – K! ONLINE










