KUALA LUMPUR 23 Jan. – FGV Holdings Bhd. (FGV) mengumumkan pelantikan Datuk Haris Fadzilah Hassan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan bagi menerajui syarikat itu berkuat kuasa serta merta.
Jawatan itu kosong sejak Datuk Zakaria Arshad meletak jawatan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV pada 18 September lalu, enam hari selepas digantung tugas.
Selain itu, Ahli Lembaga Pengarah FGV juga telah bersetuju untuk melantik tiga ahli pengurusan baharu syarikat iaitu Datuk Mohd. Hairul Abdul Hamid sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan; Mazri Abdul Rahim sebagai Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan dan Dr. Christina Ooi Su Siang sebagai Ketua Pegawai Perolehan Kumpulan.
Mengumumkan pelantikan itu, Pengerusi FGV, Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, keempat-empat individu yang dilantik itu mempunyai pengalaman luas dalam bidang masing-masing dan diyakini mampu membawa syarikat berkenaan ke arah lebih baik.
“Bagi pihak Ahli Lembaga Pengarah FGV, saya mengalu-alukan kehadiran kesemua mereka sebagai ahli pengurusan penting FGV. Mereka hadir dengan kepakaran dan pengalaman serta keupayaan yang amat ditagih syarikat.
“Kepelbagaian kepemimpinan amat penting bagi memastikan kejayaan berterusan FGV. Kami mencari yang terbaik dan individu paling layak bagi memacu syarikat serta pemegang saham ke arah lebih baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










