Guru Sains direman bantu siasatan kes amang seksual fizikal - Utusan Malaysia

Guru Sains direman bantu siasatan kes amang seksual fizikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH – Seorang guru lelaki sebuah sekolah menengah agama di Pulau Sebang di sini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan membabitkan kes amang seksual fizikal dan seks luar tabii terhadap seorang pelajar berumur 13 tahun. 

Perintah reman sehingga 26 Januari itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Melaka, Dorismah Mohd. Idris terhadap suspek yang berumur 40 tahun bagi membantu siasatan mengikut mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana melakukan seks luar tabii.

Terdahulu, suspek yang mengajar subjek Sains itu tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 10 pagi dan dibawa keluar oleh anggota polis sejam kemudian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nor Yhazid Idris berkata, suspek ditahan semalam di kediamannya di Taman Jaya di sini selepas mangsa yang merupakan seorang pelajar lelaki membuat laporan polis berhubung kejadian.

“Pengadu yang tinggal di asrama sekolah tersebut mendakwa suspek iaitu warden di situ telah beberapa kali memanggilnya untuk berjumpa di lokasi tertentu sebelum melakukan perbuatan seksual terhadapnya antara 1 hingga 17 Januari lalu.

“Mangsa kemudian memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak warden yang lain dan laporan polis dibuat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN