PUTRAJAYA 28 Jan. – Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Inovasi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) akan menggunakan dana daripada Akaun Amanah Indusri Bekalan Elektirk (AAIBE) secara berfasa bagi menyelesaikan masalah bekalan elektrik di kawasan pedalaman.
Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, keputusan tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat pasca Kabinet baru-baru ini bagi memastikan semua kawasan pedalaman di Semenanjung Malaysia dan Sabah dapat dibekalkan dengan elektrik dalam tempoh lima tahun.
“Setakat ini terdapat 1,500 kediaman di Cameron Highlands, Pahang telah dikenal pasti dan seterusnya kita masih menunggu statistik daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi kawasan lain.
“Kita tidak akan menyambung bekalan elektrik pada rangkaian sistem grid nasional kerana ia menelan kos yang tinggi, namun akan menggunakan kaedah lain seperti ‘decentralized power system’, mikro grid atau terus letak atas bumbung rumah agar bekalan elektrik dapat dibekalkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan amanat kepada warga MESTECC pada Program MESTECC 2019: Kuasai. Laksana. Ungguli.(Own it. Do It. Ace It), di sini hari ini.
Dalam pada itu, Bee Yin turut menggalakkan syarikat swasta untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) atau melaksanakan kampung pedalaman angkat bagi menyediakan bekalan elektrik.
Terdahulu beliau ketika berucap pada majlis berkenaan turut mengumumkan 73 inisiatif sebagai kerangka hala tuju kementeriannya tahun ini.
Katanya, inisiatif yang dibahagikan kepada tiga sektor utama itu merangkumi Tenaga dengan 20 inisiatif; Sains, Teknologi dan Inovasi (22) serta Alam Sekitar (20).
“Ia turut disokong oleh lima inisiatif Kecemerlagan Organisasi dan enam bagi Isu-isu Startegik dengan melibatkan lebih daripada 150 pelan tindakan akan dilaksanakan.
“Di bawah sektor alam sekitar, kita akan mempertingkatkan penguatkuasaan sehingga 100 peratus dalam menangani isu alam sekitar tahun ini dengan memfokuskan kilang kitar semula plastik,” katanya. – UTUSAN ONLINE










