Guna aset: PH perlu akui kesilapan - Utusan Malaysia

Guna aset: PH perlu akui kesilapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 22 Jan. – Apa pun alasan, Pakatan Harapan (PH) perlu menerima hakikat dan mengakui perbuatan jentera mereka menggunakan aset atau harta kerajaan ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands baru-baru ini merupakan suatu kesalahan.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata, walaupun alasan yang digunakan jentera berkenaan adalah untuk menyalurkan bantuan kepada masyarakat, namun mereka sama sekali tidak boleh menggunakan aset atau harta kerajaan untuk tujuan parti.

“PH memang tegas dalam aspek penggunaan (aset kerajaan) ini dan sangat berhati-hati, jadi dia kena terima fakta bahawa harta kerajaan memang tidak boleh digunakan untuk parti.

“Dia akan dikenakan tindakan sewajarnya walaupun saya dengar tujuannya itu betul adalah untuk rakyat tetapi kena ada ‘demarcation line’,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Meningkatkan Gerbang Internet Antarabangsa Malaysia (EM-IIG) di Subang Jaya, dekat sini hari ini.

Tambah Mohd. Rashid yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, beliau percaya kementerian berkaitan akan mengambil tindakan sepatutnya terhadap individu dan pihak yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

“PH juga sedang mencari jalan dan kaedah untuk membantu parti-parti sebab tiada dana. Kertas kerja untuk tujuan itu dalam perbincangan,” katanya.

Dalam klip rakaman video berdurasi lima minit yang tersebar sejak kelmarin memaparkan Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji bersemuka dengan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Rompin, Datuk Seri Maznah Mazlan kerana berang dengan tindakan jentera Barisan Nasional (BN) menyelak bendera PH yang ditampal di kenderaan pacuan empat roda milik Jabatan Perhutanan Ne­geri Pahang.

Susulan daripada itu, kerajaan Negeri Pahang telah menarik balik kenderaan berkenaan yang dipinjamkan kepada kerajaan Pusat sebelum ini.

Sementara itu, mengulas mengenai program EM-IIG, Mohd. Rashid yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, akses kelajuan Internet terpantas rangkaian 5G yang pertama di Asia Tenggara akan dibangunkan di negara ini dan dijangka siap pada November ini.

Jelas beliau, projek pemasangan fiber gantian optik terbesar itu akan dilaksanakan di bawah XiddiG Cellular Communications Sdn. Bhd. dengan nilai RM5.45 bilion menerusi dua fasa meliputi jajaran sepanjang 110,000 kilometer di kawasan bandar, luar bandar Semenanjung dan pedalaman Sabah serta Sarawak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×