MANCHESTER 28 Jan. – Pengurus Manchester City Pep Guardiola mencabar anak-anak buahnya untuk terus menghambat pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool apabila dijadualkan menentang Newcastle Selasa ini (Rabu pukul 4 pagi waktu Malaysia).
Skuad bimbingan Jurgen Klopp itu terkandas di peringkat awal dalam dua pertandingan domestik musim ini, membolehkan mereka menumpukan perhatian bagi saingan Liga Perdana dan Liga Juara-Juara.
Begitupun, City masih kekal dalam empat pertandingan utama, mara ke final Piala Liga termasuk pusingan kelima Piala FA susulan kemenangan 5-0 ke atas Burnley.
Ia sesuatu pencapaian yang mengagumkan setakat ini bagi City jika dilihat secara kasar, bagaimanapun pemain Liverpool memiliki kelebihan dari segi rehat dan pemulihan.
Kelab Merseyside itu meluangkan masa empat hari di Dubai minggu lalu untuk mengelakkan daripada cuaca sejuk di England, manakala pasukan Guardiola mengharungi jadual padat dalam tempoh seminggu dengan bertandang ke Huddersfield untuk saingan Liga Perdana, diikuti ke Burton (Piala Liga) dan melayani kunjungan Burnley (Piala FA).
“Ia sangat penting kerana pada Januari lalu kami di sana (selaku pendahulu Liga Perdana). Untuk kelab besar, sudah tentu cabarannya besar. Kelab mana yang terbaik dalam tempoh sedekad lalu?
“Juventus, Bayern Munich, Barcelona, mereka semua ini adalah tiga pasukan terbaik pada sedekad lalu di Eropah. Sebab apa?
“Kerana setiap musim mereka memenangi liga, setiap musim mereka memenangi piala, setiap musim mereka mencapai kejayaan, kerana mereka adalah yang terbaik.
“Ada kalanya anda bernasib baik, dan ada kalanya tidak. Tetapi apa yang penting adalah berada di sana dan itu yang kami mahukan.” ujar Guardiola, yang juga bekas pengendali Barcelona dan Bayern Munich.- AFP









