KUALA LUMPUR 29 Jan. – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memaklumkan telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir pada pagi ini berhubung status kontrak dengan China Communication Construction Company Ltd. (CCCC) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Beliau berkata Dr. Mahathir telah menasihatkannya untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan buat masa ini.
“Saya telah berjumpa dengan Dr. Mahathir pagi ini dan beliau telah menasihatkan saya untuk tidak mengeluarkan sebarang pengumuman buat seketika.
“Jadi sila nantikan kenyataan yang akan dikeluarkan apabila kami telah bersedia,” katanya selepas Majlis Pelancaran Dana Rumah Mampu Milik dan Portal Rumahku di sini hari ini.
Sebelum ini Guan Eng memberitahu, beliau terkejut dengan kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung pembatalan projek ECRL yang diterajui CCCC.
Namun semalam, Guan Eng berkata, kenyataan rasmi mengenai status kontrak antara kerajaan dengan CCCC bagi projek ECRL hanya akan dibuat secara bertulis minggu depan memandangkan ia membabitkan sebuah projek mega selain seperti diputuskan Kabinet sebelum ini. – UTUSAN ONLINE










