Geng curi basikal mewah babitkan kerugian RM50,000 tumpas - Utusan Malaysia

Geng curi basikal mewah babitkan kerugian RM50,000 tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH 3 Jan. – Satu sindiket yang aktif mencuri basikal mewah di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini akhirnya tumpas dengan tertangkapnya seorang suspek di sini minggu lalu.

Sehubungan itu, polis kini giat memburu saki-baki Geng Curi Basikal tersebut yang setakat ini mencuri sebanyak sembilan buah basikal mewah pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan lebih RM50,000.


Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, penemuan basikal mewah yang setiap satu dianggarkan berharga antara RM5,000 hingga RM20,000 itu hasil penahanan suspek lelaki berusia 28 tahun.


Menurut Noorzainy, suspek bersama rakannya melakukan kegiatan itu dengan memanjat pagar rumah mangsa dan mencuri basikal yang diletakkan di hadapan rumah termasuk pada waktu siang hari.


“Suspek yang menaiki motosikal memanjat pagar rumah dan mengambil basikal tersebut yang tidak berkunci.


“Disebabkan basikal mewah ini ringan, jadi memudahkan suspek mengangkat dan melarikannya dengan motosikal,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Tambah beliau, suspek yang ditahan itu mempunyai enam rekod jenayah lampau selain positif dadah dan kini direman selama dua minggu sehingga semalam bagi membantu siasatan.


Katanya, polis kini sedang giat memburu dua lagi suspek yang disyaki terlibat dalam kegiatan itu dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN