LIPIS 23 Jan. – Generasi kedua di Felda Sungai Koyan di sini mahu kerajaan memberi perhatian terhadap masalah tiada sumber pendapatan tetap yang dialami oleh golongan tersebut.
Tanpa pekerjaan tetap, mereka hanya menumpang ihsan daripada ibu bapa yang merupakan generasi pertama Felda untuk menyara keluarga selain berkongsi dengan adik beradik lain tinggal serumah.
Seorang generasi kedua Felda Sungai Koyan, Nur Afendi Daud,54, berkata, masalah ekonomi menjadi perkara utama mereka pada masa ini yang tidak
mempunyai pendapatan tetap.
Katanya, dengan keadaan harga kelapa sawit yang rendah mereka yang mengharapkan ihsan ibu bapa begitu tertekan ditambah pula dengan keadaan harga barang semakin naik.
“Pada masa ini generasi kedua hanya bergantung kepada emak dan bapa kerana kami tidak mempunyai pendapatan tetap, masalah utama kami di sini adalah dari aspek ekonomi yang tidak mendapat pembelaan,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, pembinaan rumah generasi kedua Felda yang terbengkalai turut meresahkan generasi kedua yang telah lama mengimpikan rumah sendiri. – UTUSAN ONLINE










